Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad(gambar) mahu Umno Selangor supaya tidak lagi mencampuri pengurusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan tumpuan kepada negeri di bawah naungan Barisan Nasional.
Beliau membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mencabar agar kerajaan negeri khususnya PAS menutup pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu sepanjang bulan Ramadhan.
Sehubungan itu Khalid menyifatkan gesaan itu melambangkan sikap hipokrit pemimpin Umno Selangor yang sengaja mencetuskan isu di luar kawalan mereka.
"Saya nak ingatkan Noh Omar jika dia terlupa, Barisan Nasional ada banyak negeri di bawah nya, laksanalah di bawah BN kalau ucapan atau cabaran kamu itu ikhlas dan cara kamu laksana adalah secara paksaaan dan kuasa, maka kalau itulah yang kamu faham dalam Islam, maka kamu buatlah di negeri yang BN perintah.
"Apa yang kamu nak sibuk dengan kerajaan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat.
"Kesalahan itu bukan hanya kesalahan ketika bulan Ramadhan tetapi juga bukan di bulan Ramadhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya petang semalam.
Tambah beliau, pendekatan dan pelaksanaan yang sewajarnya adalah menerusi pendidikan bukannya tekanan dan paksaan.
"Kita mewarisi negeri ini dengan segala peninggalan mereka dan kaedah itu kita laksanakan bukan secara mendadak tetapi oleh kerana masyarakat selama ini telah dikelirukan maka kita harus didik mereka dengan cara yang betul," katanya lagi.
Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam turut mempersoalkan niat Noh dan menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.
Berbanding dengan tindakan Umno, katanya Pakatan Rakyat tidak akan mengenakan paksaan ke atas rakyat sebaliknya jelas beliau kerajaan negeri Selangor akan mendidik orang ramai dalam isu seperti itu.-SK
No comments:
Post a Comment