Saturday, August 14, 2010

Bebaskan Mahasiswa Berpolitik

Sekumpulan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri muda KEADILAN mendesak pembentukan kaukus rentas parti yang digandingi oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa di dalam politik.

Kumpulan 10 Ahli Parlimen dan ADUN Keadilan itu menyambut baik usaha sebelum ini daripada rakan seperjuangan daripada Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa mahasiswa harus dibenarkan terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya

.
"Usaha Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarik perhatian terhadap isu ini serta tentangan daripada Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian rentas parti terhadap isu ini.
"Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput Datuk Saifuddin untuk memimpin kaukus rentas parti dalam isu ini. Jika rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka," kata mereka dalam satu kenyataan semalam.
Kumpulan ahli politik KEADILAN yang membuat gesaan itu termasuk Nurul Izzah Anwar, Yusmadi Yusof, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chan Ming Kai, Yunus Jamsari, S Kesavan, Chang Lih Kang, Sim Tze Tzin, Amirudin Shari dan Gan Pei Nei.
Sehubungan itu mereka turut membidas keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berhubung tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik sambil menyifatkan ia menggambarkan sebuah kerajaan yang ketinggalan daripada perubahan yang berlaku di persekitaran.
Mereka berkata langkah kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat tunduk kepada tentangan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya membawa mesej bahawa Najib lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.
"Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.
"Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas - yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.
"Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja," kata kumpulan ahli politik muda itu.
Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat di dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda./SuaraKeadilan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...