Thursday, March 11, 2010

ZULKIFLY NORDIN DIPECAT BUKAN PRINSIP PERIBADI- ANWAR

Pemecatan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Zulkifly Nordin daripada Parti Keadilan Rakyat dibuat atas dasar prinsip kepelbagaian kaum yang didokong Pakatan Rakyat dan bukannya "political expediency" atau keputusan politik yang berkepentingan kepada KEADILAN.

Dalam komen pertama beliau berhubung dengan pemecatan Zulkifly yang dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan semalam, Ketua Umun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya keputusan itu dibuat atas dasar kepentingan KEADILAN, sudah tentu ia tidak akan dilakukan.


" Saya tahu apabila kita (KEADILAN) pecat Zul, Parti kita akan kurang Ahli Parlimen berbanding DAP, itu saya tahu, tetapi KEADILAN ambil keputusan tersebut kerana prinsip dan idealisma Pakatan Rakyat yang kita pegang.

"Jadi, apa yang kita lakukan bukanlah isu peribadi tetapi atas dasar prinsip," kata Anwar ketika berucap di hadapan lebih 3,000 penyokong pada majlis makan malam anjuran DAP Kepong. Turut hadir, Exco Kanan Kelantan Datuk Husam Musa, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parliment Kepong selaku tuan rumah Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Rsah Anthony Loke.

Tegas Ketua Pembangkang lagi, jika mana-mana pemimpin tidak sanggup menyokong landasan perjuangan gagasan itu, pemimpin tersebut harus meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Dua tiga Ahli Parlimen lompat, 20,000 ahli baru akan sokong Pakatan Rakyat," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disambut tepukan gemuruh penyokong yang kebanyakannya daripada masyarakat Cina.

Zulkifly, 46, dipecat sebulat suara semalam ekoran tindakan beliau membuat laporan polis terhadap rakan Pakatan Rakyat daripada PAS, Khalid Samad yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau juga didapati melanggar disiplin parti apabila muncul pada sebuah rancangan di stesen televisyen milik UMNO serta membuat kenyataan yang menjejaskan imej dan nama baik KEADILAN. - SK.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...