Tuesday, March 23, 2010

Nazri Didakwa Berbohong Isu royalti Minyak Di Kelantan


KUALA LUMPUR 22 Mac - Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu tuntutan royalti minyak negeri Kelantan.
Ini kerana menteri tersebut berhujah pada sesi penggulungan sidang Dewan Disember lepas bahawa Kelantan tidak mempunyai hak menuntut royalti minyak disebabkan telaga minyak negeri itu berada melebihi tiga batu nautika daripada pesisir pantai.
Saifuddin membangkitkan perkara di bawah peraturan Mesyuarat 36(1) dan 37(12) untuk melaporkan perbuatan Nazri yang mengelirukan Dewan.
Beliau menjelaskan Pakatan Rakyat telah menemui Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979) di bawah seksyen 13(1) yang secara jelas menyebut Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu Darurat 1969) telah dimansuhkan.
"Ini membuktikan Nazri tidak tahu undang-undang dan telah menyelewengan fakta berkaitan tuntutan royalti minyak Kelantan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.
Justeru itu Saifuddin mendesak Nazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12) iaitu berkaitan hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri jika berbohong di Dewan Rakyat.
Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Kamaruddin Jaafar berkata isu yang di bawa oleh rakan sejawatnya dari Machang itu jauh lebih besar daripada perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Belud terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Isu yang dibawa wakil Machang adalah jauh lebih besar kerana Nazri seorang Menteri Kabinet yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang betul berbanding dengan Ahli Parlimen biasa.
Ahli Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub pula berkata kedudukan sebenar disebalik isu royalti minyak Kelantan akan dibongkar dan penyelewengan fakta oleh seorang menteri akan didedahkan dalam satu sidang media esok.- SK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...