Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan meneruskan hidup sebagai khalifahnya di bumi ini. Seterus diberikan pula kesempatan untuk menyambut maulidur rasul bagi tahun 1431H pada kali ini.
Allah SWT mengutuskan para nabi dengan tujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepadanya. Para nabi tidak diutus semata-mata untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelamatkan diri di akhirat kelak.
Di atas dasar itulah, para nabi termasuklah Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah SWT.Lantaran itu, kebangkitan Rasulullah s.a.w tidak lain melainkan untuk memastikan umat manusia hidup di dalam dakapan hidayah berpaksikan kepada keimanan dan ketakwaan.
Sehubungan dengan itu, sambutan maulidur rasul tidak boleh hanya sekadar memperingati tarikh lahir baginda semata-mata, ia tidak boleh terhenti setakat perayaan dan majlis-majlis keramaian sahaja.
Lebih jauh lagi, ia perlu diiringi dengan kehendak untuk mematuhi sunnah Rasulullah s.a.w.
Semangat Maulidur Rasul tidak boleh hanya hidup pada bulan ini sahaja, tetapi ia perlu hidup setiap hari dan sepanjang tahun.
Ia tidak boleh disambut dengan perarakan yang besar dan hebat semata-mata dengan mengenepikan hasrat sebenar dari kebangkitan Rasulullah s.a.w ia itu mengajak manusia beriman dan melaksanakan perintah Allah SWT.
Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, di bawah dasar Membangun Bersama Islam, kami akan terus komited dengan usaha dan hasrat melaksanakan syariat Islam di dalam pentadbiran.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w yang juga seorang pemimpin akan dijadikan sebagai model ikutan yang terbaik di dalam mengurus tadbir negeri.
Itulah misi Kerajaan negeri Kelantan di dalam mentadbir amanah yang diberikan oleh rakyat dengan izin Allah SWT ini.
Semoga Allah memberikan kita ganjaran diatas segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Salam Maulidur Rasul 1431H.
Membangun Bersama Islam.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursidul Am PAS / Menteri Besar Kelantan.
No comments:
Post a Comment