Tuesday, March 19, 2013

Tanah: Presiden PAS seru rakyat Johor buat perubahan


Isu pemilikan tanah di Johor boleh diselesaikan jika rakyat negeri itu membuat perubahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno telah memerintah negeri itu sudah lebih 50 tahun, namun sehingga kini masalah tanah rakyat masih gagal diselesaikan.

PAS pula katanya mempunyai pengalaman dalam urusan pemberian hak milik tanah, ketika memerintah Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004.


Beliau yang ketika itu menjadi Menteri Besar Terengganu berkata, kerajaan negeri dibawah pentadbiran PAS telah berusaha memberi hak milik kepada peneroka yang selama ini dinafikan hak oleh kerajaan negeri dibawah pentadbiran Umno BN.

Antara kejayaan lain juga, kerajaan negeri ketika itu juga telah berjaya mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan kelulusan tanah.

"Sudah 50 tahun lebih Umno BN memerintah, namun masalah tanah rakyat di negeri Johor masih lagi tidak dapat diselesaikan. Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat negeri Johor untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

"Saya menyeru seluruh rakyat negeri Johor membuat perubahan untuk bersama Pakatan Rakyat pada PRU-13 nanti," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan rakyat Johor di Himpunan Tanah Rakyat Negeri Johor dan kenduri rakyat di Taman Pulai Utama Skudai semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, Naib Pengerusi PKR Johor Hassan Abd Karim serta seluruh kepimpinan pakatan rakyat peringkat negeri yang lain.

Majlis tersebut semalam antara program yang dirancang sempena lawatan rasmi presiden PAS itu selama dua hari di negeri itu.

Terdahulu sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman dalam ucapannya turut menawarkan komitmen menyelesaikan masalah tanah jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Katanya, penyelesaian hak pemilikan tanah tersebut juga adalah salah satu jaminan dalam tawaran Negara Berkebajikan PAS serta dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“Johor negeri kritikal berdepan isu tanah. Isu hak milik contohnya (hingga mencecah) 40 tahun tapi gagal (ditangani kerajaan negeri) kerana karenah birokrasi,” katanya.

Beberapa wakil NGO berkaitan tanah juga turut meluahkan permaslahan rakyat yang diadukan kepada mereka.- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...