Wednesday, March 6, 2013

Siapa yang main poltik dengan isu keselamatan


Satu budaya politik di negara ini adalah jika Umno, melalui medianya, mendapati wujudnya mana -mana kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat yang dilihat berbeza dari versi kerajaan, maka kita akan menyaksikan skrip seperti berikut. Utusan dan TV3 akan mula menyerang pemimpin tersebut selama beberapa hari dan adakalanya berminggu, diikuti oleh demonstrasi dan laporan polis oleh golongan yang suka dilihat sebagai pencacai Umno. Jika skrip itu lebih tebal maka pemimpin PR tersebut akan dipanggil polis untuk disoal dan skrip itu kadangkala berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.


Itulah yang terjadi pada Haji Mohd Sabu di dalam isu Bukit Kepong. Utusan dan TV3 serang beliau lebih kurang 20 hari diikuti dengan 1,000 lebih laporan polis ke atas beliau, dipanggil polis untuk disoalsiasat dan akhirnya didakwa di mahkamah. Nurul Izzah juga diganggu dengan modus operandi yang sama kecuali beliau tidak didakwa seperti Mohd Sabu.

Kini nampaknya giliran YB Tian Chua. Fasa serangan ke atas Tian Chua kini di peringkat serangan bertalu-talu oleh media Umno diketuai oleh Utusan dan TV3, demonstrasi ke atas Tian Chua oleh mantan-mantan pegawai atasan polis dan laporan polis. Mungkin sehari dua ini polis akan panggil Tian Chua dan tidak mustahil Ghani Patail akan sempurnakan skrip Umno dengan mendakwa Tian Chua.

Saya "termenonton" berita di TV 3 tentang demonstrasi oleh mantan pegawai atasan polis ke atas Tian Chua. Salah seorang peserta demonstrasi tersebut menyebut bahawa isu keselamatan negara tidak boleh sama sekali dipolitikkan. Saya tersenyum dengan kenyataan tersebut tetapi saya juga bersetuju seratus peratus dengan kenyataan tersebut. Ya, isu keselamatan negara tidak sewajarnya dipolitikkan. Namun kita berhak bertanya, jika benar Tian Chua dilihat mempolitikkan isu Lahad Datu bagaimanapula dengan Umno dan media yang menjadi proksi Umno? Adakah mereka tidak mempolitikkan isu Lahad Datu atau isu keselamatan negara?

Bukankah Utusan sendiri melaporkan kononnya Anwar Ibrahim terlibat dalam isu Lahad Datu? Tidakkah ini dilihat mempolitikkan isu tersebut? Bukankah kegagalan pihak kerajaan BN melalui agensi -agensi keselamatannya mengawal keselamatan di persisiran laut di Sabah menyaksikan para penceroboh yang lengkap bersenjata yang menggelar diri mereka sebagai tentera Kesultanan Sulu boleh dengan mudah menyelusupi masuk tanah air kita dan berkubu di Felda Sahabat 17 di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 9 Februari yang lalu.

Kenapakah kegagalan Kerajaan BN menjaga dan mengawal keselamatan negara hingga penceroboh bersenjata mudah masuk ke negara ini tidak dikritik oleh Umno dan media proksinya? Mengapa Anwar yang tidak memegang kuasa dipersalahkan? Jika ini bukan mempolitikkan isu Lahad Datu apakah namanya tindakan ini?

Isu keselamatan negara juga melibatkan isu pemberian kad pengenalan kepada bukan warganegara dengan begitu mudah dan secara arbitrari seperti yang didedahkan dalam perbicaraan Suruhanjaya DiRaja di Sabah. Bukankah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab itu menunjukkan kerajaan BN sanggup berkompromi tentang isu keselamatan negara bagi menyelamatkan kuasa dan survival politik mereka dengan cara yang paling tidak bermaruah?

Wajarkan golongan imigran yang baru beberapa bulan atau tahun duduk di negara tanpa dkenalpasti kesetiaan mereka kepada negara ini dengan mudah diberikan IC biru meskipun permohonan mereka tidak disokong oleh apa-apa dokumen? Tidakkah satu perkara yang pelik Datuk Ambiga yang vokal meminta kerajaan mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih ingin ditarik warganegaraannya sedangkan para imigran begitu mudah diberi kerakyatan. Tidakkah satu yang aneh penceroboh bersenjata yang jejaskan keselamatan negara mudah mendarat dan berkubu di bumi Lahad Datu dan tidak dihalau balik sedangkan Senator Australia dan aktivis alam sekitar Taiwan yang datang ke negara ini dengan secara sah dihantar balik hanya kerana suara mereka dilihat mengancam BN.

Amat malang kita tidak menyaksikan mantan pegawai pegawai atasan polis yang berdemontrasi ke atas Tian Chua tidak pula menunjukkan reaksi yang sama atas isu pemberian kerakyatan dan kad pengenalan kepada bukan warganegara secara berleluasa di Sabah dalam keadaaan penerima IC tersebut tidak layak diterima sebagai warganegara.

Adakah pegawai pegawai polis kanan ini juga dilanda sindrom "demonstrasi terpilih". Adakah kegagalan mantan pegawai pegawai atasan polis ini bersuara jauh sekali berdemontrasi dalam isu pemberian IC kepada bukan warganegara menunjukkan mereka juga ada pengetahuan tentang isu tersebut dan mulut mereka digam oleh BN? Atau adakah polis tersebut merasakan pemberian IC kepada bukan warganegara tanpa mengikuti prosedur undang-undang tidak melibatkan isu keselamatan negara kerana operasi tersebut boleh memenangkan BN di dalam pilihan raya dan BN boleh terus berkuasa dulu, kini dan selamanya?

Untuk mereka ..Janganlah rosakkan nama polis dengan dilihat polis sebagai pencacai Umno!!- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...