Friday, March 15, 2013

Bankrap: Kenyataan Musa Hitam menggegar Umno BN


Pandangan Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri berhubung dengan isu politik negara baru-baru ini mendapat reaksi yang agak menggegarkan perasaan banyak pihak dalam kerajaan dan BN keseluruhannya.

Bagi Aspan Alias, Musa merupakan pesara politik dan kerajaan yang sudah lama tidak bercakap tentang hal politik kerana beliau menghormati diri beliau sendiri sebagai seorang bekas pemimpin utama negara.

Beliau menyatakan demikian di dalam blognya semalam, sebagaimana di bawah.


Pandangan Tun Musa Hitam (TMH), bekas Timbalan Perdana Menteri berhubung dengan isu politik negara baru-baru ini mendapat reaksi yang agak menggegarkan perasaan banyak pihak dalam kerajaan dan BN keseluruhannya. TMH merupakan pesara politik dan kerajaan yang sudah lama tidak bercakap tentang hal politik kerana beliau menghormati diri beliau sendiri sebagai seorang bekas pemimpin utama negara.

TMH hanya memberikan pandangan di tempat yang betul dan sesuai sebagai seorang pemimpin yang telah bersara dan tidak mudah teruja untuk campur lagi dalam hal politik negara secara aktif. Beliau hanya memberikan pandangan apabila diminta untuk mengulas sesuatu isu yang hangat sekarang ini yang berkaitan dengan pertembungan di antara dua pihak yang sedang berebut untuk menambat hati dan jiwa rakyat.

Beliau telah ditanya dalam temubual bersama Sinar Harian dua hari lepas dan beliau telah memberikan pandangan beliau secara bebas tanpa condong kepada mana-mana pihak yang sedang bertarung bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 ini. Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam politik beliau memahami keadaan dan situasi sebenar dalam politik dan siasah negara sekarang ini.

Beliau bukanlah agen politik kepada mana-mana pihak, maka beliau memberikan pandangan semasa ditemubual oleh akhbar Sinar Harian dengan bebas. Beliau memberikan pendapat yang sebenar-benarnya beliau rasakan tanpa takut dan ragu. Tetapi apabila beliau memberikan pendapat tulen beliau, tentulah pendapat yang beliau rasakan benar itu tidak akan diakui sebagai kebenaran oleh pihak yang tidak mahukan kebenaran itu diluahkan.

Ini fenomena biasa dalam politik negara. TMH yang tidak lagi bergiat dalam politik lebih realistik pandangannya. Beliau telah meletakkan diri beliau sebagai seorang yang ‘magnanimous’ dalam memberikan apa-apa pendapat politik semasa. Tidak ada sebab kenapa ada pihak yang mengkritik TMH kerana pandangannya.

Sesungguhnya dakyah UMNO yang mengatakan manifesto PR itu tidak betul dan akan menjadikan negara bankrap itu tentulah tidak dapat diterima oleh seorang bekas pemimpin utama negara itu. Bukan semudah itu UMNO mahu mengelirukan seorang pemimpin yang tahu tuduhan terhadap Pakatan Rakyat itu adalah semata-mata dakyah politik pilihanraya.

Tentulah TMH tahu mempercayai atau terpengaruh dengan dakyah BN itu merupakan penghinaan kepada keupayaan daya pemikiran ramai. TMH bukannya taraf penyelia kemas atau pegawai penerangan khas serta yang tidak mempunyai tugas yang lain selain daripada membuat fitnah dan melangsungkan niat UMNO yang sekarang sedang hebat bertarung melawan kehendak rakyat jelata waktu kita di ambang pilihanraya ini.

UMNO yang begitu defensif tentulah merasa tertekan dengan kenyataan TMH yang begitu terang tidak mahu tunduk kepada dakyah pihak yang sedang ketagih dengan kuasa yang telah mereka salahgunakan selama ini. UMNO dan pimpinannya sedang menghadapi ketagihan kuasa sehingga mereka tidak rela menerima kekalahan yang lazim berlaku kepada parti-parti pemerintah di mana-mana negara demokrasi yang betul. UMNO tidak mampu untuk menerima kuasa bergilir walaupun sememangnya sudah sampai pada masanya untuk parti itu digilirkan mentadbir negara ini. UMNO mahu melangsungkan konsep 'lepas UMNO itu UMNO dan selepas itu UMNO lagi dan sampai bila-bila UMNO. UMNOlah yang mampu menjamin masa depan rakyat dunia dan akhirat'. Parti lain itu semuanya tidak pandai dan bodoh belaka.

Apa yang diperkatakan oleh TMH itu merupakan manifestasi sebenar rakyat yang terus-terusan menolak tohmahan UMNO yang negara kita akan bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas pilihanraya nanti. TMH menyatakan dengan terus terang yang Pakatan Rakyat tidak mungkin membankrapkan negara kerana Pakatan Rakyat juga mahu memimpin negara dalam jangka masa yang lama dengan melakukan kerja dengan niat yang terbaik.

UMNO menggunakan isu perkauman yang menebal dalam menghadapi plihanraya ini dan banyak kenyataan pimpinan UMNO lebih-lebih lagi Dr Mahathir dan Muhyidin Yassin memainkan isu Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO dan BN tidak lagi memerintah negara. Mahathir merupakan ‘champion’ yang memainkan isu perkauman ini dan ini juga tidak dipersetujui oleh TMH. TMH jelas-jelasnya menyatakan yang permainan isu perkauman ini hanya dilakukan oleh mereka yang bankrap kepimpinannya dan ia tidak lagi relevan pada zaman ini.

Isu perkauman yang begitu menebal ini sangat merbahaya untuk masa depan rakyat dan negara kerana jika berlaku kekecohan kaum yang sengsara ialah rakyat. Yang akan mengaut keuntungannya hanyalah pimpinan lemah yang akan mengambil kesempatan untuk berkuasa lebih lama dan meneruskan budaya mengaut kepentingan peribadi yang tidak ada hadnya seperti yang berlaku pada hari ini.

Kalau dikaji secara halus maksud bekas TPM ini ia memberikan maksud jelas yang isu keselamatan merupakan isu yang sangat besar yang akan dihadapi oleh pimpinan hari ini. Isu Lahad Datu bukan setakat menghalau atau membunuh mereka yang menceroboh tetapi ia amat jelas ada perkara atau isu besar di sebalik berlakunya pencerobohan musuh yang telah mengorbankan sepuluh anggota pasukan keselamatan negara kita setakat ini.

Isu keselamatan wajar menjadi pertimbangan rakyat dalam menghadapi pilihanraya kali ini kerana sudah terlalu jelas keselamatan persempadan darat dan laut kita begitu mudah dibocori oleh mana-mana pihak yang ingin melakukan pencerobohan terhadap persempadan kita. Rakyat beranggapan pembelian dan pembekalan alat pertahan negara semata-mata untuk tindak perniagaan pimpinan yang kroni yang hampir dengan kepimpinan besar negara.

Pencerahan TMH ini sepatutnya diseminarkan dan diforumkan oleh rakyat di seluruh negara. Ia juga wajar dijadikan contoh dan sempadan kepada penguasaan pimpinan kerajaan hari ini. Nampaknya sekarang ini sesiapa juga boleh memasuki perairan Malaysia tanpa kemampuan pihak keselamatan menyekatnya. ‘Trust nobody and suspect everybody!’…itulah yang sepatutnya sikap kita terhadap mereka yang memimpin negara yang selama ini begitu lantang meminta mandat semata-mata untuk kemajuan dan keselamatan negara jangka panjang. Laungan itu berkumandang setiap kali pilihanraya mendatang dan kita mesti berhati-hati dengan kempen dan niat pimpinan BN khususnya UMNO kali ini.

Jangan diambil enteng terhadap isu yang ada di sekeliling kita hari ini. Tidak boleh lagi kita berdiam diri selain dari kita melakukan yang terbaik untuk keselamatan dan kesejahteraan negara pada masa depan.

Kali ini rakyat sendiri perlu melakukannya kerana sudah terlalu banyak bukti yang pimpinan UMNO yang menerajui negara kita sekarang ini sudah sampai masanya untuk diketepikan buat sementara ini. Jangan bersorak-sorak lagi, kampung kita sudah lama tergadai rupanya.

Marilah kita bina negara yang baru dan hidup dalam ‘ambience’ politik yang lebih nyaman untuk masa depan kita. Kita hidup secara muhibah di kalangan semua kaum dan rakyat Malaysia yang amat kita kasihi ini. Kita tiada lain tempat untuk hidup selain dari negara ini.

Kita bukannya seperti sesetengah orang yang mampu untuk meninggalkan kita dan hidup di negara lain setelah mengumpulkan harta yang menggunung semasa berkuasa selama puluhan tahun.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...