
Bukan sahaja indeks rasuah Malaysia di peringkat antarabangsa bertambah teruk kini separuh rakyat negara ini pula mengesahkan bahawa gejala keji ini semakin berkembang dan berleluasa.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Transparency International (TI) berkaitan Barometer Antarabangsa Rasuah 2010, 46 peratus atau hampir separuh rakyat Malaysia yang disoalselidik dalam kajian mengenai rasuah antarabangsa mengakui gejala rasuah semakin buruk.
TI berkata peratusan yang tinggi ini pada tahun ini adalah lebih tinggi daripada statistik tahun 2009.
Kajian itu juga menunjukkan hanya 19 peratus rakyat Malaysia berpendapat amalan rasuah telah menurun manakala 35 peratus lagi berkata keadaan masih tidak berubah.
Badan itu juga berkata daripada 1,000 orang yang dibanci oleh agensi pasaran TNS Malaysia dalam soalselidik secara bersemuka dalam tempoh 28 Jun hingga 26 Julai 2010, jumlah yang mengaku terlibat dalam amalan rasuah hanya 9 peratus atau 90 sepanjang tahun lalu.