Barang Naik: Jangan Percaya Janji Pemimpin Umno
Janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka ternyata hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikan segala janji-janjinya kepada rakyat sejak dulu, melainkan hanya sekadar mahu menggula-gulakan rakyat untuk meraih undi bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya.
Lebih jauh dari itu, slogan yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri juga, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" tidak boleh dipegang oleh rakyat kerana slogan tersebut hanya sekadar slogan, tetapi ia tidak pula dilaksanakan seperti yang digembar-gemburkan itu.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh berkata, realiti itu terserlah apabila kerajaan BN sejak 3 Disember lalu telah mengambil keputusan menaikkan harga barangan keperluan utama rakyat, petrol, diesel, gas dan gula, sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit walaupun ia telah dijanjikan tidak akan dinaikkan.