Wajah -wajah kepimpinan baru PAS yang bakal menerajui arus perubahan
Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.
Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata- mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam PRU.
Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan DAN calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.
Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

