Altantuya: Najib Perlu Perjelas Laporan Wikileaks
Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.
"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.
"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.