Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menjadi pengadil yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam sesebuah pilihan raya bagi memastikan keputusan yang dicapai berdasarkan keputusan yang dimahukan rakyat.
Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebagai sebuah agensi kerajaan, SPR seharusnya memainkan peranan sebagai sebuah badan bebas yang menguruskan proses pilihan raya di negara ini demi mencorakkan sistem demokrasi di negara ini.
“ Pengadil tidak dilihat memihak kepada sesiapa. Pengadil adalah pengadil. Pengadil yang baik tidak dilihat berat sebelah,” katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas majlis dialog yang diadakan sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.
Malah menurut Khalid, kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri tidak mencerminkan bahawa pilihan raya di negara ini telah dijalankan dengan adil.

