Jikalau mengikut bahasa politik BN, kalaupun Utusan Malaysia tidak disabitkan kesalahan hasutan kerana memainkan isu perkauman dan agama, sekurang-kurangnya ia telah melanggar seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu menyiarkan berita palsu (false news). Menurut pengalaman BN yang lalu, seandainya media melanggar undang-undang ini - ia akan digantung permitnya untuk satu tempoh (seperti Makkal Osai yang menyiarkan gambar Jesus merokok), kalau bukan dihentikan terus (seperti Sarawak Tribune dalam isu kartun menghina Nabi).
Namun demikian, Kementerian Dalam Negeri sekadar mengeluarkan surat teguran kepada Utusan Malaysia. Gerak geri ini dilihat hanya dibuat-buat untuk memuaskan pihak-pihak tertentu. Meskipun Ketua Pengarangnya dipanggil untuk memberi penjelasan kepada KDN, namun siapa tahu, bahawa ia mungkin hanya "minum kopi" dan bersembang-sembang - bagaimana sandiwara ini dilakonkan dengan begitu menarik?
Artikel seterusnya ...
Senarai "kejahatan" yang dilakukan Utusan Malaysia 10 tahun kebelakangan ini terlalu panjang untuk dicatatkan. Memalsukan berita, memutar-belit kenyataan orang yang ditemuramah, memainkan isu agama dan perkauman yang tidak benar - segala-gala ini menjadi bahan rujukan untuk kursus pengajian komunikasi ketika membincangkan etika kewartawanan.Utusan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1939 ini bukan sahaja sebagai akhbar Melayu yang paling panjang sejarahnya, malah mencatat rekod unggul dalam gerakan anti-penjajahan, bahkan juga dalam perjuangan kebebasan media selepas kemerdekaan. Bagaimanapun, selepas diambil-alih UMNO pada tahun 1961, Utusan Malaysia telah menjadi lidah dan alat propaganda parti politik ini.

