Harakahdaily
Setelah didakwa ekoran pemilikan banglo mewahnya, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta Barisan Nasional agar jangan memandang enteng (mudah) janji Pakatan Rakyat dalam konvensyen mereka baru-baru ini.
"Pada hemat saya, Barisan Nasional tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!"
"Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500," tulis Khir dalam blognya.
Bagi beliau, kehadiran kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius.
Ini kerana, tulis beliau, kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi, katanya.
Khir juga berpandangan, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.