Ini satu lagi ujian bagi rakyat Malaysia; sekurang-kurang untuk menyukat kefahaman dan kebijaksanaan mereka. Persoalan kali ini mudah – apakah erti kebajikan? Dan, setelah mengerti istilah kebajikan, apakah pula yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan?
Seperti biasa pemimpin Umno-BN akan menggunakan segala kudrat media dan instrumen penerangannya untuk memberi takrif kebajikan dari sudut pandang mereka. Umumnya, pemimpin Umno-BN mendakwa mereka telahpun melaksanakan tuntutan Negara Berkebajikan dalam urusan pentadbiran negara.Tanpa sebenarnya mengulas dan memperinci erti kebajikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, misalnya, terus mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Berkebajikan. Dalilnya, kata beliau, kerajaan telah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di bidang pendidikan, prasarana, subsidi sara hidup dan sebagainya.
Lantas, beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin, memperlekehkan teras perjuangan PAS kini untuk menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Malah diperli-perli pula PAS yang kononnya tergamak meninggalkan perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam.

