Sebaik sahaja Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara, perkara pertama yang akan dilakukan dengan mengheret perasuah-perasuah negara ke muka pengadilan, bagi membersihkan negara dari amalan rasuah yang akan merosakkan masyarakat dalam pelbagai aspek.
Setelah itu, ia akan disusuli dengan langkah kedua iaitu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ternyata merupakan akta zalim dan tidak menepati kehendak Islam, manakala langkah ketiganya pula menstrukturkan semula pinjaman PTPTN bagi memudahkan para pelajar meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menyusun langkah keempat yang melibatkan dasar media dengan memperkenalkan akta kebebasan maklumat iaitu dengan melonggarkan proses permohonan akhbar, majalah atau media yang kini ternyata amat ketat.
Menurut beliau, sekiaranya rakyat negara ini memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah negara, setiap pihak turut berpeluang melihat kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara dengan lebih baik berbanding Kerajaan BN dalam pelbagai perkara lain termasuk yang melibatkan kebajikan kepada warga emas.