Tuesday, December 17, 2013

Kerajaan ada kuasa untuk tidak menaikkan tol


Alasan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhubung kenaikan tol adalah dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.

Demikian dinyatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang merujuk kenyataan Abdul Wahid yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku pada 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

“Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol,” ujarnya dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.


Saya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku pada 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan.

Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol.

3 kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuhraya adalah seperti berikut:

1. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Elite, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Butterworth Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

2. Prolintas yang mengendalikan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway, Lebuhraya Kemuning Shah Alam dan bakal membina Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang dan Lebuhraya Damansara–Shah Alam.

3. Gamuda (melalui anak syarikat usahasamanya) yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya KESAS dan Lebuhraya SPRINT.

PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya.

Tambahan pula, sebahagian besar dari konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan.

Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan-bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuhraya.

Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway dibina hampir sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuhraya tersebut.

Sebab itu, saya menyanggah kenyataan Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta.

Hakikatnya, sebahagian besar perjanjian konsesi melibatkan anak syarikat kerajaan. Bagi perjanjian konsesi yang lain, syarikat-syarikat swasta seperti Gamuda dan Maju Holdings telah mendapat pelbagai kemudahan kewangan dari kerajaan atau pun projek-projek besar kerajaan. Pemegang konsesi yang lain pula mendapat pembiayaan mudah kerajaan.

Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk duduk berbincang dengan pemegang-pemegang konsesi sama ada melalui pemilikan saham pemegang konsesi ini atau bantuan kewangan yang telah pun diberikan kepada syarikat pemegang konsesi.

Alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...