Wednesday, May 1, 2013

Dakwat “kekal” SPR luntur dalam masa beberapa jam saja


Dakwat “kekal” Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hilang dalam masa beberapa jam sahaja!

Seorang isteri tentera di Kem Batu 3 Jalan Mersing di sini yang membuang undi awal pagi ini terkejut apabila dakwat yang dicalit di jarinya hilang selepas beliau memasak, membuat kerja-kerja rumah dan membasuh baju sesampainya di rumah pada awal petang.

“Saya terkejut kerana saya ada membaca laporan akhbar yang mengatakan pengerusi SPR berkata bahawa dakwat itu boleh kekal selama lima hari. Saya terus menelefon bapa saya untuk memberitahu hal kata,” katanya kepada Roketkini.com, sambil menambah bahawa suaminya berada di luar kawasan kerana menyertai operasi.


Beliau yang enggan namanya disiarkan telah dinasihatkan oleh bapanya untuk membuat laporan polis tentang perkara itu di sini petang tadi.

Surirumah yang berusia 25 tahun dan mempunyai dua anak itu turut memaklumkan perkara tersebut kepada calon PAS bagi DUN Mahkota, Khairul Faizi dan calon DAP bagi Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

“Saya membuat laporan polis kerana saya bimbang berlakunya manipulasi kerana saya dimaklumkan bahawa dakwat ini tidak boleh hilang (warna) selama lima hari sepertimana yang dikatakan oleh pihak SPR,” tambah beliau. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...