Thursday, March 14, 2013

Apabila Umno selalu berbohong.. Hanipa Maidin


Sehingga kini Umno dan Najib menghadapi masalah bagi meyakinkan rakyat bahawa tragedi Lahad Datu bukan hasil teori konspirasi. Mengapa berlaku sebegitu? Jawapannya rekod Najib dan Umno sendiri. Umno dan Najib sudah terlalu biasa menipu rakyat hinggakan kini mereka menghadapi krisis keyakinan bagi menyakinkan rakyat dalam apa sahaja isu yang timbul. Najib dan Umno hanya layak menyalahkan diri sendiri jika rakyat yakin isu Lahad Datu adalah hasil teori konspirasi.

Dilema Umno meyakinkan rakyat ini mengingatkan saya kepada cerita di zaman kanak-kanak dulu. Kisah bagaimana budak gembala kambing yang sering menipu orang-orang kampung kononnya kambingnya dimakan serigala.
Orang kampung yang terpedaya dengan pembohongan budak tersebut dengan jujur cuba memberi bantuan kepada budak tersebut. Apa yang orang kampung dapat? Budak penipu itu mentertawakan orang kampung kerana mudah ditipu. Akhirnya apabila serigala benar benar datang memakan kambing beliau jeritan budak sipenipu itu tidak lagi berguna. Orang kampung sudah tidak percaya lagi pada sipenipu? Sudah 12 pilihanraya Umno tipu rakyat, maka rekod buruk mereka kini nampaknya memakan tuan.

Toeri konspirasi bukan fenomena baru dalam dunia politik. Tragedi 11 September yang menyaksikan serangan ke atas Menara Berkembar, World Trade Centre (WTC) dan Pentagon sehingga kini tidak diterima sepenuhnya sebagai tragedi sebenar. Tidak sedikit rakyat Amerika dan penduduk dunia ini yang percaya tragedi 9/11 adalah hasil teori konspirasi jahat Bush, Dick Cheney dan Donald Rumsfeld. Tidak sedikit tulisan, buku, rencana, dokumentari dan filem dihasilkan bagi menyokong teori konspirasi tersebut.

Malahan wujud satu organisasi yang dinamakan 9/11 Truth Movement yang berjuang untuk membawa mesej bahawa 9/11 adalah hasil teori konspirasi. Ada juga yang menyatakan kemusnahan menara kembar dan TWC adalah daripada apa yang dipanggil "Controlled Demolition" (keruntuhan secara terkawal). Tun Mahathir sendiri antara tokoh poltik yang percaya 9/11 adalah satu drama yang dihasilkan bagi menyerang Islam.

Wujud juga satu kumpulan pakar-pakar tentera yang dikenali sebagai "army specialist April gallop" yang menyaman pentadbiran Bush dalam isu 9 /11 atas alasan kejadian tersebut hasil dari teori konspirasi yang dirancang oleh regim Bush.

Isunya di sini teori konspirasi bukan benda baru. Ia boleh berlaku dan telah berlaku dalam politik. Politik sekular yang bergurukan Machevelli dengan prinsip "matlamat menghalalkan cara" yang tidak menjadikan dosa dan pahala sebagai asas berpolitik memberi laluan mudah untuk teori konspirasi berkembang.

Apa sahaja teori konspirasi sudah tentu beralaskan motif. Apa motif tragedi 9/11? Penyokong teori konspirasi menyatakan motifnya adalah penaklukan Iraq dan Afghanistan serta perkiraaan kepentingan geostrategik di Timur Tengah seperti rancangan "pipeline" yang dilancarkan oleh Unocal dan syarikat-syarikat minyak yang lain.

Adakah tragedi Lahad Datu adalah hasil teori konspirasi masih belum diketahui. Dengan ketiadaan kertas putih dan sidang Parlimen khas membincang isu ini dengan telus, Najib perlu faham ia menyuburkan anggapan bahawa ada suatu yang tidak kena dalam isu ini. Adakah teori konspirasi ...Wallahu 'alam.

Bagaimanapun saya berpendapat Najib menghadapi masalah besar meyakinkan rakyat ianya bukan teori konspirasi. Masa kejadian yang sangat hampir dengan tarikh pilihanraya Umum -pilihanraya yang paling mencabar buat beliau - tidak membantu Najib dan Umno bagi menolak teori konspirasi. Ini ditambah pula dengan Najib sendiri menghadapai pelbagai isu yang dilihat mengikat beliau seperti isu pendedahan Deepak dan Bala tentang Altantuya, isu pendedahan Umno terlibat memberi kad pengenalan secara mudah dan tidak sah kepada bukan warganegara dan yang terbaru pula pendedahan berani bapa Saiful bahawa Anwar menjadi mangsa teori konspirasi. Semua isu ini meyakinkan rakyat Najib amat perlu satu grand design yang besar dan paling licik untuk menarik balik keyakinan rakyat.

Yang lebih malang semakin isu ini berlarutan semakin banyak rakyat melihat kenyataan yang berubah-ubah dan bercelaru dari mulut pemimpin Umno. Kerajaan Najib dilihat secara konsisten tidak konsisten. Kita tidak tahu adakah yang datang ke negara kita adalah penceroboh atau pengganas atau apa? Jika pengganas mengapa di awal isu ini kerajaan bersedia berunding dengan pengganas dan dikhabarkan diberi makan dan minum ketika berunding?

Sejak bila sebuah kerajaan berunding dengan pengganas yang datang menceroboh negara dengan membawa senjata? Jika Senator Australia yang datang secara sah tiada rundingan dibuat dan terus dihalau balik, mesti ada sesuatu yang istimewa kepada pengganas yang datang dari Sulu dengan membawa senjata dan berkubu di Felda Sahabat 17, Lahad Datu hingga mereka dibawa berunding! - Harakahdaily





No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...