Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup serius dalam menangani isu berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing, MyKad klon, kad pengenalan palsu dan isu berkaitan kod 71.
Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengambil keputusan mempercepatkan penganjuran himpunan khas bagi membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung Mykad klon dan kad pengenalan palsu kepada 24 Oktober ini, Isnin, di bangunan Parlimen, bermula jam 10.00 pagi.
Sebelum ini himpunan tersebut dijadualkan pada 25 Oktober, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan yang turut dilaporkan Harakahdaily pada 8 Oktober lalu, tetapi terpaksa dipercepatkan sehari sebelum itu bagi mengelakkan kesulitan ekoran perayaan Deepavali.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, perubahan tarikh itu dilakukan dengan persetujuan Nasrudin sendiri hasil perbincangan yang diadakan baru-baru ini.
Menurut beliau, himpunan tersebut akan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, barisan kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Keadilan dan DAP dari Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan oleh Nasrudin pada 8 Oktober lalu.