Najib mengkritik Buku Jingga dengan mendakwa Anwar akan demam jika berdebat dengannya. Tapi setelah Anwar mencabar berdebat mengenai kandungan dokumen berkenaan, yang merupakan manifesto bersama Pakatan Rakyat, Najib terus membisu hingga kini. Itu tandanya Najib penakut dengan bayang-bayang Anwar.
Kengganan Datuk Seri Najib Razak menyahut pelawan debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan beliau Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Najib sepatutnya mengambil peluang itu untuk mempertahankan Belanjawan yang dibentangkannya di parlimen 7 Oktober lalu.“Perdebatan mengenai belanjawan ini bukan soal peribadi, jauh sekali persoalan siapa menang siapa kalah.
“Persoalan utama yang wajar dilihat Najib ialah isu rakyat, kerana segala wang dalam belanjawan itu adalah milik rakyat,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Menurut Shamsul, debat secara terbuka adalah medan terbaik memberi peluang kepada rakyat menilai Belanjawan yang ditawarkan kerajaan BN dan Pakatan Rakyat.
