Tuesday, July 26, 2011

Majlis Peguam Desak Kerajaan Perjelas Pengusiran William Bourdon

William yang hadir ke Malaysia untuk sesi penerangan berhubung kes penyelewengan dana bersabit pembelian kapal selam Scorpene oleh Kementerian Pertahanan dihantar pulang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Artikel penuh di bawah ini...
Majlis Peguam menggesa agar Putrajaya membuat penjelasan terbuka berhubung tindakan mengusir peguam Perancis, William Bourdon baru-baru ini.

Ini kerana menurut presidennya, Lim Chee Wee alasan yang diberikan Jabatan Imigresen bersabit pelanggaran syarat-syarat lawatan sosial adalah kurang jelas dan samar.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Lim berpendapat mana-mana individu asing seharusnya diberikan peluang untuk menjawab tomahan yang dikenakan terhadap diri mereka.

Katanya perkara tersebut jelas menggambarkan bahawa kerajaan dengan sewenang-wenangnya melanggar prinsip hak asasi manusia.

"Peristiwa ini merupakan satu lagi tanda yang negatif terhadap rekod kerajaan mengenai hak-hak dan kebebasan asasi, yang pada ketika ini melibatkan orang asing," katanya.

William yang hadir ke Malaysia untuk sesi penerangan berhubung kes penyelewengan dana bersabit pembelian kapal selam Scorpene oleh Kementerian Pertahanan dihantar pulang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau yang tiba dari Pulau Pinang selepas menghadiri majlis makan malam untuk mengumpul dana terpaksa membatalkan dua majlis sama yang dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya dan Ipoh.

Wiliiam berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan, Sherpa khusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Dalam kenyataannnya, Lim turut memberi contoh kes Mahkamah Agung JP Berthelson melawan Pengarah Ketua Imigresen, Malaysia & Ors [1987] 1 MLJ 134 dengan menyatakan bahawa peraturan keadilan asasi berkait sebarang keputusan sebuah badan pentadbiran, individu tersebut perlu diberi peluang untuk didengari.

"Orang yang terlibat mempunyai jangkaan yang sah untuk mempertahankan dirinya, kerana ia akan menjadi tidak adil untuk mengutuk sesiapa, atau untuk melucutkan hak sesiapa sahaja tanpa mendengar apa yang dia katakan," memetik kenyataan beliau.

Tambah Lim lagi, tindakan kerajaan menimbulkan persepsi masyarakat bahawa kerajaan cuba untuk melindungi perkara yang didedahkan William bersabit dakwaan rasuah kerajaan Malaysia dan syarikat DCNS.

Kerajaan didakwa menerima komisen sebanyak RM540 juta dari DCNS melalui syarikat Perimekar iaitu subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda.

Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak merupakan kenalan rapat Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...