Monday, July 25, 2011

IDEAS : Kenapa Hendak Membazir Kalau Boleh Guna Dakwat Kekal?

        Jika ada yang lebih mudah dan murah mengapa perlu memperuntukkan kos yang tinggi walaupun kesannya boleh dipertikai.
        Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan ekoran tindakan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan mewujudkan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini.

" Ada cara yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi kita pula mencari jalan yang rumit dan amat mahal.

" Saya pun tidak faham kenapa bila kita ada yang lebih murah dan lebuh mudah iaitu pakai dakwat kekal, yang jauh lebih murah daripada biometrik, kita hendak guna teknologi yang harganya berkali ganda dan kesannya masih boleh dipertikaikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai sistem biometrik yang mungkin dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13.


Namun seperti mahu menyindir tuntutan rakyat dan gagasan pembangkang yang mendokong perjuangan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini, Najib mendakwa Malaysia terpaksa mendahului negara maju dalam menyediakan sistem ini untuk kepuasan rakyat.

"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik(menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih)walaupun negara-negara maju pun tak buat," Najib dipetik sebagai berkata.

Malah Najib juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi.

Hakikatnya menurut Wan Saiful, tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

" Saya rasa ada manfaat jelas kepada kerajaan kalau mereka mendakwa isu ini baru ditimbulkan supaya kita terlupa bahawa isu ini telah lama ditimbulkan pada awal 90-an dan mungkin awal daripada itu. Malah ketika Umno dibubarkan dulu pun, ia berpunca daripada sistem pengundian,"tegas Wan Saiful.

" Tapi saya boleh faham sekiranya saya berada di dalam kasut ahli-ahli politik di sebelah pemerintah sekarang, pasti yang saya hendak buat ialah mendakwa ini perkara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Saya akan kata pembangkang cuba mengeksploitasi perkara yang ditimbulkan,"katanya lagi.

Kenyataan Najib itu senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini bermati-matian mendakwa mereka sebagai badan bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat bukti berlakunya masalah seperti pengundi hantu, rasuah berleluasa dan sebagainya.

Tambah menghairankan, apabila sebuah agensi yang mendakwa mereka menjalankan amanah dengan baik menolak apabila rakyat memberi cadangan penambahbaikan seperti yang diutarakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan dalam Bersih.

Sebaliknya SPR melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik tuntutan yang dibuat.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...