Surat Terbuka Americk Sidhu Kepada Zahrain Hashim
Zahrain,
Pertama sekali, cuba fahami beberapa fakta yang akan dibincangkan.
Anda dipilih sebagai Ahli Parlimen oleh majoriti pengundi di kawasan pengundian anda yang bersetuju dan menyokong manifesto parti yang anda wakili pada masa itu.
Ini bermakna majoriti pengundi di kawasan parlimen anda mengundi untuk parti pembangkang bagi mewakili mereka, dan jelas mereka tidak mahu Barisan Nasional mewakili mereka.
Itulah intipati yang sebenar dan bukan susah sangat untuk memahaminya, dan saya harap anda dapat terus bersabar mendengar penjelasan saya.
Tetapi sebaliknya, anda telah mengkhianati kepercayaan para pengundi yang memenangkan anda dengan meninggalkan kesemua prinsip yang anda dokong dahulu dan mengalih sokongan anda kepada BN.
Anda lakukan demikian tanpa meminta izin daripada pengundi yang mengundi anda di kawasan anda. Alasan bahawa anda adalah ahli parlimen bebas yang menyokong BN tidak menjustifikasikan kenyataan bahawa anda telah meninggalkan pengundi yang memilih untuk mewakili mereka, dengan mengabaikan keperluan dan aspirasi mereka ke arah sebuah bangsa dan masa hadapan yang lebih baik.
Biar saya beritahu anda apa seorang yang bermaruah sepatutnya lakukan dalam keadaan ini. Seorang individu yang mempunyai maruah sudah tentu akan mengosongkan kerusinya dan meminta pengundi kawasannya untuk memutuskan siapa patut mewakili mereka, walaupun individu itu telah mengkhianati pengundinya.
Anda tidak berbuat demikian, jadi pada pandangan saya, anda seorang yang tidak bermaruah. Anda kini hanya seorang ahli parlimen dengan alasan palsu.
Pada hakikatnya, anda langsung tidak harus menduduki kerusi di Parlimen kerana Ahli Parlimen patutnya mereka yang berintegriti dan mempunyai kehormatan diri, selain menjadi wakil sah yang dipilih oleh majoriti pengundi di kawasannya.
