
Kalah Berhujah Umno-BN Guna Senjata Sentimen Perkauman, Agama
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pimpinan Umno yang tanpa segan silu menuding jari kepada orang lain sebagai pengkhianat dan pembelot demi kepentingan politik.
Sebaliknya, menurut kata Anwar Umno-BNlah sebenarnya pihak yang memperalat sentimen perkauman sempit dan agama.
Tambahnya, walaupun Umno sudah kehilangan senjata untuk berhujah, mereka sanggup memperalat sentimen perkauman sempit dan agama demi laba politik semata-mata.
"Mutakhir ini sering pula ada golongan yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot.
"Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan," kata beliau dalam perutusan Hari Merdeka ke-53 hari ini.
Anwar berkata, Kemerdekaan pastinya mempunyai makna teristimewa dan penting buat seluruh rakyat Malaysia.