Peguam dan ahli perniagaan yang juga suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya dipercayai memiliki kekayaan luar biasa, termasuk aset bernilai lebih RM100 juta, kebanyakannya menerusi penipuan sehingga membawa kepada pembunuhan.
Ia merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang, rumah mewah, ladang, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Malah, peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk itu mempunyai beberapa perniagaan di Chennai, termasuk menjadi rakan kongsi jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.
