Sultan Gesa Bersatu Atas Kalimah Tauhid
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa umat Islam khususnya rakyat di negeri ini supaya menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam bersatu padu atas ‘kalimah tauhid’.
Ini penting bagi merealisasikan status umat Islam sebagai ‘khaira ummah’ dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang di akhirat kelak.
Baginda mengajak umat Islam supaya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar itu tidak akan berjaya dicapai tanpa perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummah.
“Sudah tiba masanya kita sebagai satu ummah melaksanakan muhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan yang diamalkan di kalangan umat Islam pada hari ini, sekaligus melakukan anjakan perubahan atau ‘penghijrahan’ ke arah suatu tahap yang lebih baik dalam aspek hubungan sesama manusia,” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1432 Hijriah di Balai Islam, Lundang dekat sini, malam tadi.