Taktik siasatan polis berdasarkan teori ‘No Body, No Murder’ digunakan suspek(Gambar) utama yang juga seorang peguam berstatus Datuk dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, baru-baru ini.
Teori itu dikatakan digunakan suspek ketika dia cuba menghapuskan segala bukti fizikal dengan membakar semua mayat sebelum abunya dibuang ke dalam sungai. Malah bagi mengelirukan polis, suspek turut membuang abu mayat mangsa, barangan peribadi, senjata digunakan dan bahan yang ada kaitan dengan kes itu ke dalam beberapa sungai yang terletak berhampiran ladang berkenaan. Dengan perancangan rapi dilakukannya, lelaki berkenaan disifatkan sebagai bijak kerana mengetahui cara terbaik menghapuskan barangan kes.
