Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mendakwa pihaknya mempunyai maklumat bahawa ribuan ‘pengundi klon’ digunakan untuk membantu menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Mohd Adram Musa berkata, ribuan pengundi klon dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya tersebut sudah cukup untuk menumbangkan kerajaan Selangor.
“Apa yang kami ada, daftar pemilih kotor yang sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.
“Adakah ini kerja-kerja seperti mana yang disebut oleh perdana menteri yang berkata akan melakukan apa sahaja untuk mengambil balik Selangor?,” soal beliau ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut.
