Pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya(gambar) dan tiga lagi, amat mengejutkan negara kerana selepas dibunuh dengan kejam, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat sini, sekali gus mengakhiri misteri kehilangan keempat-empat mangsa selama dua minggu.Tambah memeranjatkan lagi, berikutan kejadian itu, seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di kawasan ini dan bergelar “Datuk”, telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.
Perkembangan terbaru ini menambah senarai kes pembunuhan kejam yang negara pernah saksikan sebelum ini — antara kes bunuh dan rogol penganalisis maklumat, Canny Ong pada 2003 yang turut dibakar.
Kes-kes lain termasuklah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Kumpulan Utusan. Empat tahun lalu wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pyla dibunuh dan mayatnya kemudian diletupkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof menyifatkan pembunuhan Sosilawati bersama tiga lagi mangsa sebagai satu “pembunuhan kejam.”