Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong penuh pelaksanaan program 'rakyat berpakaian kuning setiap Sabtu' sebagai usaha berterusan menuntut lapan perkara bagi pembaharuan pilihan raya di negara ini seperti yang dicadangkan Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata usaha tersebut selari dengan pendirian parti yang mahukan proses pilihan raya yang bersih dan adil dapat dizahirkan di negara ini.
"PAS menyokong penuh usaha itu dan sebelum ini pun kita telah berkongsi pendapat seumpama ini kepada umum bahawa setiap sabtu masyarakat dan warganegara seluruh negara ini agar mengenakan pakaian atau apa sahaja yang berwarna kuning pada tubuh mereka," kata beliau.
