| Muhamad Nur Manuty |
Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.
2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.
3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.