Anwar Cabar Najib Minta Singapura Dedahkan Maklumat Pembunuhan Altantuya
Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri supaya meminta kerajaan Singapura mendedahkan bukti pembabitannya dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sekiranya Datuk Seri Najib Razak yakin beliau tidak berkait langsung dengan jenayah tersebut.
"Bukan saya yang cakap Datuk Najib terlibat dalam pembunuhan tapi kerajaan Singapura yang berkata. Jadi kalau Najib kata dia tidak terbabit langsung saya cabar dia minta kerajaan Singapura dedahkan maklumat yang mereka ada mengenai pembunuhan Altantuya.
"Tapi saya juga nak beritahu kepada Singapura supaya jangan masuk camour hal ehwal kita. Jaga urusan kamu jangan nak tunjuk angkuh dan song dengan kita. Hal kita dengan Najib, biar kita sahaja yang lawan, jangan pulak nak masuk campur urusan dalaman Malaysia," Anwar memberi amaran.
Bercakap kepada lebih 3,000 penyokong Pakatan Rakyat di Ceramah Isu Semasa di Tapak Pasar Malam, Taman Melati malam tadi juga menyelar Umno-Barisan Nasional yang bersungguh-sungguh menghentam beliau dalam media milik mereka berhubung pendedahan laman web Wikileaks mengenai dakwaan kononnya beliau "masuk perangkap" yang dirancang oleh kerajaan dalam pertuduhan fitnah kali kedua.