Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.
"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri."Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.
Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.
