Monday, August 13, 2012

Sudah nak berak baru menggali lubang - Aspan Alias


Pepatah Melayu ada berkata. ‘dah nak berak baru gali lubang’. Itulah hakikatnya dalam isu pernubuhan RCI berhubung dengan isu kebanjiran pendatang haram di Sabah yang telah menjadikan BN ibarat telor di hujung tanduk. Semalam Najib telah menubuhkan Suruhanjaya di Raja (RCI) berhubung dengan kedatangan ratusan ribu pendatang tanpa izin yang telah menjadi masalah besar kepada negeri Sabah.

Suruhanjaya ini (RCI) jika benar-benar menjadi kenyataan dan dilaksanakan dengan seratus peratus ketelusan, ia akan menjadi igauan kepada BN. Tetapi dalam pengumuman Najib semalam beliau tidak menyentuh satu pun dari lapan ‘term of reference’ yang telah dipersetujui itu. Apa yang terpenting di dalam penyiasatan RCI ini nanti ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap pemberian kad-kad pengenalan itu serta pemberian kerakyatan kepada pendatang tanpa izin dengan begitu banyak itu.


RCI itu juga berwajib untuk mengutamakan motif dan tujuan pemberian sijil-sijil kerakyatan dan kad-kad pengenalan itu. Kedua-dua isu ini merupakan isu yang tersangat penting yang rakyat ingin tahu. Apa kah asas pemberian dengan pengeluaran sijil-sijil kerakyatan yang diberikan kepada pendatang itu? Pemberian itu semestinya bersebab sehinggakan pembajiran pendatang ke Sabah sejak sekian lama telah menjejaskan keadaan sosial, ekonomi dan berbagai-bagai lagi masalah yang terpaksa dihadapi oleh rakyat tempatan Sabah.

Jika usaha memberikan sijil-sijil kerakyatan ini tidak mempunyai asas yang kukuh, maka tindakan itu adalah satu tindakan ‘treason’ yang begitu aib nilainya dan mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke mahkamah tanpa memilih bulu. Yang kita hendak jaga dengan rapi ini ialah sebuah negara yang berdaulat. Jika tindakan itu tidak mempunyai sebab, maka ia adalah tindakan yang mencemarkan kedaulatan negara kita.

Nyata sekarang tindakan pembentukan RCI ini merupakan tindakan yang telah lama di tunggu-tunggu dan desakan pemimpin-pemimpin Sabah sejak puluhan tahun dahulu baru sahaja hendak di dengar. Itu pun setelah BN sendiri merasakan yang sokongan rakyat Sabah sudah merudum terhadap pimpinan BN di sana.

Kita tidak wajar menafikan hakikat yang penubuhan RCI ini dilakukan kerana terpaksa memandangkan pimpinan dan rakyat Sabah sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain dari membenamkan kerajaan BN yang memerintah selama ini yang menjadi penyebab pembanjiran pendatang haram dengan begitu ramai.

Penubuhan ini dilakukan dengan serta merta dalam keadaan terdesak dan kita sendiri menyaksikan yang pembentukan RCI ini ibarat ‘sudah nak berak sangat baru gali lubang’ Keputusan kepada RCI ini wajar di ketahui umum sebelum PRU ini dan tidak boleh diambil enteng lagi oleh kerajaan dan jabatan yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan ini.

Dr Mahathir menentang penubuhan RCI ini dan kita tidak terperanjat dengan pendirian beliau itu. Tidak payah kita membuat apa-apa spekulasi terhadap beliau kerana beliau sememangnya mengetahui perkara itu berlaku dan ini merupakan isu yang sangat hangat yang diperbincangkan oleh rakyat ramai di bawah ini. Jika dengar sangat nasihat Dr Mahathir ini ia akan menjadi laibiliti sepanjang zaman kepada kerajaan hari ini.

Hanya kita mengharapkan agar keputusan RCI ini dibuat dengan telus dan jika terpaksa mengadapkan sesiapa di mahkamah ia perlu dilakukan. Jangan pula menjadi RCI terhadap isu Lingam dahulu. Tidak ada apa-apa tindakan yang di ambil terhadap sesiapa yang bertanggungjawab itu. Kita sememangnya menunggu cadangan-cadangan yang akan dibentangkan oleh RCI sesudah selesai melaksanakan tanggungjawab penting terhadap negara ini.

Tetapi yang paling mudah untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab dan motif pesalah laku dalam isu ini ialah untuk rakyat bersatu dengan mengubah kepimpinan negara dan di Sabah.

Jika perubahan dilakukan di Sabah, bukan sahaja isu pendatang izin boleh diselesaikan, banyak isu lain yang menghantui Sabah dan negara keseluruhan akan dapat diselesaikan dan diatasi dengan mudah.

Sesungguhnya RCI yang dianggotai oleh rakyat merupakan RCI yang paling mustajab untuk menyelesaiannya. -http://aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...