Wednesday, August 1, 2012

KEADILAN rancang hapus beri AP, buka bidaan pada umum

AP

              KEADILAN memperkenalkan formula untuk mengimbangi penurunan cukai jualan kenderaan dan eksais iaitu dengan menghapuskan pemberian permit import (AP) secara berperingkat-peringkat bermula 2013.
              Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, sementara AP dimansuh sepenuhnya menjelang 2015, jualan AP pula akan dibuka kepada bidaan umum.

Menurutnya, bidaan akan bermula dengan harga tertentu mengikut kategori kenderaan dan penggunaan bahan api, bertujuan menggalakkan lebih banyak kenderaan jimat bahan api diperkenalkan.


“Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kenderaan berkuasa tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Rafizi berkata, jika jualan AP dibuka kepada proses bidaan, maka harga purata bagi setiap AP adalah RM40,000.

Beliau berkata, pendapatan tambahan daripada hasil AP yang dirombak akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun.

“Dengan anggaran 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sehingga RM2.8 bilion setiap tahun kepada negara,” katanya.

Tambah Rafizi, harga kereta akan tetap murah walaupun AP ditentukan oleh proses bidaan dan penghapusan cukai eksais secara berperingkat.

Katanya, pengurangan cukai eksais kereta berjumlah RM8 bilion akan meningkatkan perbelanjaan rakyat sekaligus keuntungan itu akan dipulang kembali kepada kerajaan.

“Apabila perbelanjaan rakyat meningkat, ia akan merancakkan ekonomi negara melalui cukai-cukai yang lain,” jelas beliau.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...