Monday, April 19, 2010

Saya Dah Minta Maaf Kepada Tuhan


Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau melakukan kesalahan di masa lampau, sambil menegaskan beliau tidak sempurna seperti malaikat.

“Saya sudah perjelaskan kehidupan saya sebelum ini. Saya bukan malaikat dan saya tidak ‘sesempurna’ macam pemimpin UMNO.

“Saya ada kelemahan pada usia muda dahulu,” katanya ketika ditemui selepas solat Asar di masjid di Kerling di sini, semalam.

Katanya, walaupun beliau sebelum ini pernah melakukan kesalahan, namun beliau tidak pernah melarikan diri.

“Kalau mereka (UMNO) nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf kepada Allah dan saya dah minta maaf kepada orang Selangor.

“Itu terpulanglah kepada mereka nak mainkan isu ini (dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor) kerana mereka ini sempurna seperti malaikat,” katanya.

: Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf, yang mendesak beliau ber:sumpah berhubung tuduhan minum arak.

Zaid berkata, tidak ada perkara yang penting dalam hal untuk melakukan sumpah.

:“Apa nak sumpah sumpah. Suruh orang-orang UMNO yang minum arak sumpah dulu. Sumpah itu antara saya dengan Allah.

“Saya tidak hipokrit macam pemimpin UMNO. Apa yang silap silaplah, dan saya tidak pernah lari. Bila saya salah saya mengaku dan saya minta maaf, tapi mereka tidak akan buat begitu,” katanya.

:Zaid berkata, beliau percaya rakyat di Hulu Selangor boleh menilai manusia sepertinya, sama ada layak atau tidak menjadi wakil rakyat.

Membela Zaid kelmarin, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Zaid sudah berubah sejak kembali dari Makkah.

Beliau berkata, dakwaan beberapa blog bahawa Zaid kerap bersosial dan kaki minum adalah tidak adil kerana ia berbentuk tuduhan semata-mata, tanpa memberinya ruang membuat penjelasan.

Pengarah Pilihan Raya PR Parlimen Hulu Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar Selangor, juga mempertahankan Zaid.

Beliau berkata, kelmarin isu minum arak tidak perlu diperbesarkan dan menjelaskan ada dalam kalangan pemimpin dahulu yang peminum.

"Zaid sekarang sudah berubah dan kita nampak perubahannya," katanya.- SH

Tiga Abdul Adalah Pengkhianat







Tiga Ahli Parlimen Bebas termasuk Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dijangka akan muncul pada pentas yang sama untuk membantu Barisan Nasional (BN) hujung minggu ini.

Dua wakil rakyat Bebas itu ialah Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli Noordin.

Ketiga-tiga mereka akan muncul pada pentas yang sama Jumaat ini.

Zahrain telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat Februari lalu manakala Zulkifli pula dipecat oleh parti itu bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Zahrain dan Zulkifli akan berkempen di sini selepas pulang dari Washington.

Bagaimanapun berbanding kedua-dua wakil rakyat itu, Ibrahim telah mengadakan bilik gerakannya di Prima Beruntong, Bukit Beruntong sejak beberapa hari lalu.

Dalam SMS dihantar, Ibrahim berkata beliau akan berkempen di Batang Kali di sini malam ini.

Beliau akan berada di sini sehingga Sabtu ini dan telah mengaturkan beberapa program bagi membantu calon BN.

“Datuk Ibrahim membantu kempen BN atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas bukannya sebagai Presiden Perkasa,” kata pegawai bilik gerakan Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Ibrahim pernah membantu kempen BN pada pilihan raya kecil Manek Urai dan Bagan Pinang.- TMI
.

Sunday, April 18, 2010

Pertarungan di Hulu Selangor bermula


HULU SELANGOR – Pilihan raya kecil Parlimen (P94) Hulu Selangor yang bermula hari ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan dan lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Calon bebas yang dijangka turut serta, Johan Md Diah dan VS Chandran pula masing-masing dari UMNO dan MIC memberikan alasan mahu menyertai pilihan raya kecil ini kerana mahu berkhidmat kepada penduduk Hulu Selangor.

Pertandingan kali ini juga dilihat amat menarik sekali kerana Pakatan Rakyat (PR) mahu mengekalkan kerusi ini dan meneruskan rentak ‘tsunami politik’ manakala BN pula kelihatan amat yakin mampu merampas Hulu Selangor.

Sekiranya BN mampu merampas Hulu Selangor, ia akan menjadi penambah moral kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum pilihan raya umum akan datang dan membuktikan bahawa konsep 1Malaysia mampu diterima rakyat.

Menurut Pensyarah Sains Politik UKM, Prof Madya Mohammad Agus Yussof, kedudukan BN dan PR sekarang benar-benar seimbang di Hulu Selangor dan masih terlalu awal untuk membuat andaian siapa yang akan memenangi pilihan raya kecil ini.

Katanya Zaid dan Kamalanathan masing-masing mempunyai kelebihan dan mampu membuat kejutan tetapi ia ditentukan dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak bertanding dan jumlah peratusan yang keluar mengundi.

“Pada pilihan raya umum 2008 lalu, kira-kira 15,000 pengundi tidak keluar di Hulu Selangor, jika mereka keluar siapa yang akan menang? Inilah persoalannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Isu yang dijangka panas dimainkan oleh PR pada permulaan kempen seperti isu Apco, Dasar Ekonomi Baru, fungsi perjumpaan Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama baru-baru ini serta isu pembangunan setempat.

BN pula dijangka membawa isu kegagalan kerajaan PR negeri dan menyerang peribadi Zaid serta kes liwat melibatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa hari lalu, BN melalui krisis untuk memilih calon yang paling sesuai kerana calon yang dikemukakan MIC, Timbalan Presidennya, Datuk G Palanivel ditolak oleh pucuk kepimpinan BN dan Kamalanathan merupakan calon saat akhir yang diterima.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 25 April. -SH

Zaid sudah berubah, kata pemimpin Pakatan


Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mempertahankan Datuk Zaid Ibrahim, yang didakwa kaki sosial, dengan menegaskan calon mereka itu bagi kawasan Hulu Selangor ini sudah berubah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Zaid, bekas menteri persekutuan sudah memperlihatkan perubahan sejak beliau balik dari Mekah.

“Saya tidak baca blog, jadi saya tidak tahu, tetapi sebagai orang Islam, kita perlu bertanya dengan tuan badan sendiri... bukannya mempercayai blogger,” katanya.

Hadi, Ahli Parlimen Marang, ditemui di Pusat Penamaan Calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Zaid, 59, bekas Ahli Parlimen Kota Baru, diturunkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengundian diadakan pada 25 April ini.

Hadi diminta mengulas dakwaan banyak blogger yang mengatakan Zaid seorang yang kuat bersosial dan kaki minum serta tidak sesuai langsung dijadikan calon PR untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya Hadi yakin pihaknya mampu memenangi pilihan raya ini kerana sokongan penduduk yang amat tinggi kepada calon yang dikemukakan.

“Kita boleh membuat kejutan di sini,” katanya.

Berhubung soalan mengenai tindakan Zaid yang pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kerana mahu mewujudkan hukum hudud, Hadi berkata, perkara itu sudah diselesaikan.

“Zaid sudah tarik balik saman tersebut, jadi sekarang perkara tersebut bukan lagi menjadi isu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, Zaid sudah banyak berubah dan tidak wajar menimbulkan perkara berkenaan.

“Ya, saya kisah Zaid telah berubah daripada tatacara, tatatertib ini.

“Kalau nak tengok karektor seseorang, kita kena tengok orang itu dari kecil sampai jadi datuk.

“Umno tidak boleh guna isu ini sebagai bahan kempen, ramai yang tahu bahawa orang Umno pun ramai tergolong dalam hal ini (minum arak),” kata Khalid, yang merupakan pengarah jentera pilihan raya kecil bagi PKR.

Pengerusi PKR Selangor ini berkata, jika isu Zaid menjadi satu masalah adakah umat Islam akan menolak saudara baru yang pernah makan khinzir dan minum arak apabila mereka masuk Islam.

Malah kata Khalid, jika pengundi kawasan Kota Baru yang konservatif boleh menerima beliau wakil rakyat enam tahun lalu, tiada sebab beliau tidak akan diterima di kawasan Hulu Selangor.-TMI

Memahami rakyat lebih penting dari isu tempat lahir – Zaid


Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor mahu menumpukan masalah pembangunan dan keselesaan yang masih membelenggu penduduk kawasan itu yang diabaikan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini.

Melalui pengalaman beliau sebagai menteri sebelum ini, beliau yakin dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi penduduk Hulu Selangor.


"Saya rasa dengan pengalaman menjadi menteri, melalui pengalaman yang saya ada, saya rasa boleh selesaikan lebih banyak masalah seperti masalah perbandaran, longkang, perumahan," kata beliau dalam sidang akhbar selepas penamaan calon pilihan raya kecil parlimen itu di sini hari ini.

Beliau yang pernah memegang portfolio Menteri Undang-undang berkata hubungan rapat dengan (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain memudahkan beliau menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Malah beliau berkata beliau akan membawa pelbagai perubahan bagi merancakkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan di kawasan terbabit.

Maka menurutnya lagi, isu bahawa beliau bukan anak tempatan bukan isu utama seperti dimainkan pihak Barisan Nasional.

"Mereka kata saya orang luar, tetapi saya sudah menetap di Petaling Jaya selama 30 tahun dan calon P Kamalanathan juga bukan anak tempatan, sama sahajalah. Isu tempat lahir bukan menjadi isu penting" kata beliau.


Katanya lagi apa yang penting adalah beliau perlu memahami para pengundi dan mampu menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata Pakatan Rakyat merasa bangga kerana dapat meletakkan Zaid yang disifatkan sebagai calon terbaik dalam pilihan raya kecil kali ini.

Khalid pula berkata Zaid menjadi calon sesuai untuk menterjemahkan segala usaha kerajaan selangor yang membawa program merakyat ekonomi selama ini.

Malah negeri Selangor kata Menteri Besar itu, cukup bertuah memiliki Zaid yang dilihat dapat membawa masalah rakyat Selangor di parlimen.

"Kita sudah melaksanakan agenda merakyatkan ekonomi dan orang yang akan meneruskan usaha kita di parlimen dan untuk diterjemahkan adalah Datuk Zaid.

Khalid berkata, "Kami bertuah jika beliau dipilih kerana beliau akan mewakili kami di parlimen dan akan membawa suara rakyat"

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata seluruh jentera parti itu dari seluruh negara akan dikerah terutama 40 cawangan PAS di sini untuk berkempen bagi membantu kemenangan Zaid.

"(Dakwaan) PAS tak sokong Zaid tak betul. Seluruh pimpinan PAS kukuh di belakang Zaid," katanya ringkas. -FMT

Saturday, April 17, 2010

Lebih 10,000 Iringi Zaid Di Penamaan Calun



Lebih 10,000 penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat keluar untuk menzahirkan sokongan kepada bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim pada hari penamaan calon untuk pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Dalam usaha terdesak untuk meraih sokongan Melayu, calon MIC P. Kamalanathan memakai songkok apabila beliau diiringi oleh penyokong BN berarak ke pusat penamaan calon.

Keputusan itu dilihat sebagai taktik murahan oleh kalangan pengundi Melayu dan mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan pengundi India.

Kamalanathan adalah sebagai calon pilihan Umno. Presiden Umno Najib Razak memilih beliau setelah menolak calon pilihan MIC Datuk G. Palanivel yang pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama empat penggal.

Dalam pada itu, kekecohan berlaku apabila polis menggunakan kekerasan ke atas penyokong Pakatan termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat Badrul Hisham Shahrin.

Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu pula luka di kaki apabila cedera dalam asakan penyokong Barisan Nasional.

Dua calon bebas, iaitu V.S Chandran dan bekas Ketua Pemuda Umno Selangor Johan Md Diah turut menfailkan borang pencalonan untuk menjadikan persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Hari mengundi ditetapkan pada 25 April.

Keadaan tegang menyelubungi seluruh proses penamaan calon itu apabila penyokong kedua-dua pihak melontarkan slogan-slogan dan saling cabar-mencabar.

Beberapa tangkapan dikatakan telah berlaku namun butiran penuh masih belum di perolehi.

Datuk Zaid Ibrahim di iringi oleh barisan kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk ketua umum Pakatan rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden Pas Abdul Hadi AWang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.- TMI

Demi Politik, Menteri Dan Ulama Umno Ketepikan Hukum Syariah


- Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pemimpin dan ulama Umno yang berdiam diri malah menyokong agar tuduhan qazaf tidak di bicarakan di Mahkamah Syariah.
"Ulama Umno ni lebih jahil dari orang Umno yang jahil, mereka memandang rendah hukum syariah Islam. Inikah pemimpin yang kita nak sokong?
"Kes saya telah ditolak oleh hakim dengan alasan dia tiada kuasa untuk mengarah pendakwa syarie membuat dakwaan ke atas Saiful setelah saya buat laporan fitnah kes liwat tersebut.
"Menteri Agama Datuk Jamil Khir Baharom kata kes qazaf tidak boleh di bicarakan di Mahkamah Syariah kerana dengan alasan kes itu bukan bidang mahkamah. Inikah orang yang kita nak letakkan kepercayaan untuk tegakkan hukum Islam di Malaysia?" tanya beliau.
Anwar yang berucap di hadapan lebih 1,000 penyokong pada majlis penerangan di Dewan Datuk Abd Hamid, Taman Ligamas, Bandar Utama Batang Kali Rabu lalu menjelaskan tindakan yang dilakukan itu hanyalah untuk kepentingan politik mereka sahaja.
"Umno yang mereka kata juara rakyat ini, apa yang mereka lakukan hanya untuk kepentingan politik mereka saja bukan untuk menegakkan kebenaran lebih-lebih dalam hukum Islam.
Mereka tak kisah mempersendakan hukum Islam janji mereka dapat nama.
"Kes gadis yang dirotan kerana minum arah bukan lagi mereka hebohkan bahawa apa yang mereka lakukan mengikut hukum Islam tapi bila kes melibatkan saya dari Pakatan Rakyat maka hukum Islam tak boleh dipakai.
"Inilah kerja Umno sejak dari dulu lagi kalau ada kepentingan politik tanpa berlengah mereka laksanakan tapi bila tak menyebelahi mereka terus ambik keputusan dan katakan bukan bidang tugas
"Saya nak pesan kepada Jamil Khir segeralah bertaubat nasuha kerana kita tak tahu bila giliran kita akan tiba, janganlah ikut pemimpin atasan yang terang-terang telah menzalimi rakyat," Anwar memberi amanarn.
Ketua Pembangkang itu juga menyeru agar pengundi di Batang Kali dapat membuat penilaian atas apa yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional yang nyata menolak jauh hukum Islam kerana takut untuk berhadapan dengan kebenaran dan keadilan. /SK
Demi pulus, menteri dan ulama Umno sanggup melakukan apa saja meski pun ianya bertentangan dengan hukum islam. Bercakap di sana sini nak bela pasal islam tapi tidak berpandukan pada quran. Hukumnya tak diikut. Inilah sifat-sifat menteri dan ulama Umno yang munafik.

Ramai Calun Bebas Di PRU Hulu Selangor


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor bakal meriah apabila tidak kurang dari lima calon bebas turut memeriahkan suasana apabila mengambil keputusan untuk bertanding pada 25 April ini.

Tiga daripada mereka menyatakan rasa tidak puas terhadap pucuk pimpinan MIC yang mereka dakwa telah mengabaikan nasib masyarakat India dan dipinggirkan dari arus pembangunan.

Bekas pengerusi bahagian MIC Hulu Selangor, V S Chandran berkata, "Saya akan bertanding di Hulu Selangor dan telah pun membayar wang deposit sebanyak RM5,000 semalam.

"Saya menetap di Hulu Selangor selama 54 tahun. Saya kenal setiap inci bumi Hulu Selangor," katanya.

Chandran pernah dipecat dari parti tahun lalu ekoran masalah disiplin.

Beliau berkata Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan Timbalannya Datuk G Palanivel adalah pembohong. Selama tempuh empat penggal Palanivel sebagai anggota parlimen kawasan itu kehidupan rakyat bertambah susah. Jumlah rakyat miskin semakin meningkat.

Seorang lagi calon yang turut bertanding, Pengerusi MIC Cawangan Bukit Bintang, T Ananthan yang bersetuju dengan pendapat Chandran berkata, "saya pasti akan bertanding di Hulu Selangor kerana telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan MIC.

"Jika saya mendapat lebih dari 1,500 undi maka jelas menunjukkan bahawa masyarakat India tidak menyokong MIC sebagai sebuah parti," ujar beliau.

"Saya yakin calon BN akan ditewaskan oleh wakil Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim," tambahnya lagi apabila ditanya mengenai calon BN.

Sumber media dipetik berkata Anandhan akan menarik diri dari bertanding pada saat-saat akhir.

Sementara itu, bekas ahi MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP), J Anuratha, akan mengumumkan hari ini sama ada beliau akan bertanding di Hulu Selangor.

"Bapa saya dikenali ramai di Hulu Selangor, dan rajin membantu rakyat,"

"Berdasarkan keyakinan ini, saya yakin dapat sokongan rakyat di Hulu Selangor," katanya.

Selain itu, bekas ketua wanita Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang, Aminah Abdullah, juga mengisytiharkan beliau akan bertanding di Hulu Selangor.

Beliau pernah bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang tetapi tewas hingga hilang deposit.

Sementara itu, Hindraf juga mengumumkan akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor, 25 April ini.

Setiausahanya, V.K.Regu berkata, pemimpin Hindraf telah bertemu dan mengambil keputusan menyertai PRK ini.

Bagaimanapun, katanya nama calon Hindraf akan diumumkan kemudian.

Mereka katanya, sudah menyimpang dari semangat pergerakan itu walaupun pemimpin mereka adalah sebahagian dari Hindraf./erapakatan

Dalam Barisan National, Umno yang berkuasa. Mereka lah yang menentukan calun-calun MIC sedangkan kerusi Hulu Selangor adalah milik MIC. Sepatutnya mereka tidak perlu campur tangan dalam rumah tangga MIC, biarlah pemimpin-pemimpin MIC yang menentukan calun mana yang lebih layak. Dimanakah Kuasa yang ada pada pemimpin-pemimpin MIC? Nampaknya pemimpin-pemimpin MIC hanyalah boneka kepada Umno. Harap-harap kaum India bersatu dan menolak calun ini dan pilihlah calun PR yang lebih berwibawa untuk menentukan masa depan kaum india di Negara ini.





Friday, April 16, 2010

Azmin - Umno-BN Gentar Dengan Zaid.




Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali(Kanan) berkata calon pilihan raya Pakatan Rakyat bagi KEADILAN di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim(Kiri) akan memberikan tekanan dan mengentarkan Umno-Barisan Nasional.

Azmin berkata, Zaid merupakan calon yang sesuai di kawasan itu berdasarkan pengalaman beliau yang luas sebagai pemimpin dan pernah dilantik sebagai Menteri Kabinet.

"Sebagai pemimpin yang bukan ahli biasa dan pernah menjadi pemimpin kanan, termasuk bekas menteri ketika di dalam kerajaan, Zaid tahu selok belok amalan buruk pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

"Beliau juga telah sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada rakyat ketika di dalam kerajaan," ujarnya.

Menurut Naib Presiden KEADILAN itu lagi, keputusan meletakkan Zaid sebagai calon menyebabkan Umno dan MIC kini merasa gelabah dan bergaduh sesama sendiri bagi menentukan calon pilihan mereka.

"Maka MIC dan Umno terpaksa pilih calon lain untuk bersaing dengan Zaid. Umno telah merasakan tekanan dengan Datuk Zaid," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Kenyataan Azmin itu melenyapkan persepsi jahat dimainkan Umno yang dilihat cuba melaga-lagakan beliau dan calon pilihan raya Hulu Selangor itu.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan beberapa pimpinan KEADILAN tidak bersetuju Zaid diletakkan sebagai calon di Hulu Selangor kerana khuatir kedudukan politik mereka dalam KEADILAN akan terjejas.

Ketika ditanya tentang propaganda yang cuba dimainkan Umno mengenai kritikan Zaid terhadap PAS semasa di dalam Umno, Azmin berkata perkara itu berlaku semasa beliau di dalam parti itu.

Katanya, penyertaan Zaid ke dalam Pakatan Rakyat bermakna Zaid bersedia menerima segala dasar perjuangan gagasan itu.

"Itu mungkin ketika beliau di dalam Umno dia tidak faham tentang perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Namun sekarang beliau berada dalam Pakatan Rakyat dan diterima dalam Pakatan Rakyat dan juga PAS. Beliau mungkin telah fahami lebih jelas matlamat perjuangan Pakatan Rakyat," kata Azmin. - SK

Zaid Cabar Muhyiddin Sama-Sama Isytihar Harta


Calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau sanggup mengisytiharkan hartanya serta-merta sekiranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet sanggup menyahut cabaran yang sama.

"Sekarang pun boleh (isytihar), esok pun boleh. Tetapi mereka kena isytihar juga," katanya ketika ditanya kesediaan beliau berbuat demikian setelah isu 'kekayaannya' dibangkitkan Muhyiddin semalam.

Menyifatkannya sebagai "tuduhan karut", Zaid turut kelihatan mempersoalkan peranan Muhyiddin sebelum ini - ketika menjadi menteri kabinet - terhadap cadangan perdana menteri pada waktu itu Tun Abdullah Badawi supaya mereka mengisytiharkan harta dan hutang masing-masing.

"Tetapi cadangan Pak Lah ditolak. Jadi Muhyiddin patut jelaskan mengapa?" soalnya kembali sambil mendakwa beliau masih berpegang kepada pendirian lamanya menyokong cadangan tersebut.

Dalam sidang media di Bukit Beruntung semalam, Muhyddin dilaporkan mendakwa PKR memilih Zaid sebagai calon mereka sempena pilihan raya kecil pada 25 April ini kerana bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kaya.

Timbalan perdana menteri juga dilporkan berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pemilihan Zaid dibuat bukan kerana beliau mampu berkhidmat kepada penduduk setempat.

Diwawancara Malaysiakini di banglow mewah dua tingkatnya di Petaling Jaya pagi tadi, Zaid menjelaskan, isu 'kekayaannya' itu sengaja ditimbulkan BN bagi "mempersendakannya" dan "seolah-olah hendak menuduhnya mengamalkan rasuah"

'Nak kata miskin, tidak juga'

"Saya hairan juga mereka tuduh saya begitu, seolah-olah tuduh saya rasuah. Saya menteri (selama) enam bulan (sahaja), macam mana hendak buat (rasuah)?

"Menteri undang-undang pula, bukan (menteri yang) jaga Petronas, bukan jaga FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), bukan menteri kewangan," katanya yang juga penyelaran Pakatan Rakyat.

Berhubung dakwaan BN cuba mempersendakannya, Zaid menjelaskan, isu kekayaannya itu ditimbulkan bagi menggambarkan beliau seorang yang "tidak mengenang budi" kerana membuat duit ketika bergiat dalam Umno.

"Itulah politik kempen dia (Muhyiddin). Saya harap kita teruskan kepada persoalan isu sebenar di Hulu Selangor," katanya.

Beliau bagaimanapun mengaku "berduit" daripada pendapatan hasil 30 tahun menjalankan firma guaman dan mempunyai sedikit pelaburan.

"Bukanlah kata (saya) tak ada duit. (Tetapi) bukan seperti yang digambarkan. Jadi hendak kata saya miskin, tidaklah. (Kalau miskin) takkan boleh duduk di Tropicana (Golf Resort)," katanya.

Dalam wawancara kira-kira 45 minit itu, Zaid mengupas pelbagai perkara berhubung 'pertarungan' BN- Pakatan yang akan ditentukan oleh hampir 65,000 pengundi pada 25 April ini. 'Kehangatan' suasana menjelang tempoh rasmi berkempen yang tinggal dua hari lagi kini mula terasa.

Anwar kelmarin mengumumkan Zaid sebagai calon PKR bagi berdepan dengan BN di Hulu Selangor atas tindakannya yang sanggup melepaskan jawatan menteri "demi prinsip" kerana menentang penggunana akta ISA oleh kerajaan.

Zaid dijangkan bakal mendapat tentangan sengit daripada calon daripada MIC yang akan diumumkan timbalan perdana menteri di Hulu Selangor malam ini. - Malaysiakini

Thursday, April 15, 2010

SPR Buat Peraturan Ikut Suka Hati


Kuala Lumpur 14 April- Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh( Gambar) kesal dengan tindakan sembrono Suruhanjaya Pilihan Raya menghadkan jumlah penyokong kepada 100 orang semasa penamaan calon tanpa perbincangan dengan parti politik.

"Peraturan SPR menghadkan jumlah penyokong kepada cuma seratus orang semasa penamaan calon haruslah dengan persetujuan parti-parti yang bertanding, setakat ini mereka belum memanggil dan berbincang dengan kita dan tiba-tiba semalam mereka mengumumkan peraturan tersebut.

"SPR tidak boleh berbuat demikian kerana kita yakin kita boleh kawal penyokong kita. Kita bayar gaji anggota polis dan FRU untuk jaga keselamatan. SPR boleh memastikan supaya laluan itu tidak bertembung supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Banyak perkara SPR boleh buat untuk memastikan keselamatan tetapi kita tidak mahu mereka ini digunakan oleh BN semata-mata untuk melumpuhkan semangat penyokong kita pada hal setiap kali penamaan calon, semangat penyokong BN yang lumpuh apabila melihat ramainya penyokong kita, kita tidak mahu tipu helah ini berlaku semasa hari tersebut," tegas Fuziah semasa berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Rakyat di Kompleks Sukan dan Komuniti Serendah semalam.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mahu SPR tidak berada di dalam keadaan tertekan dan seharusnya konsisten dan buktikan bahawa badan itu bukan parti komponen Barisan Nasional dengan mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.

SPR akan melarang semua parti politik membawa penyokong terlalu ramai bagi mengiringi calon masing-masing pada hari penamaan calon kononnya bagi mengelak berlaku kekecohan.

Ini berikutan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang ramai berbanding penyokong Barisan Nasional pada beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. -SK
SPR sememangnya bukanlah sebuah badan bebas sebagaimana yang diwar-warkan. Inya sebuah badan yang dipengaruhi Umno-BN . Mereka takut dengan kehadiran lebih ramai penyokong-penyokong PR, maka mereka gunakan SPR sebagai tali barut mereka.

Jawapan Datuk Zaid Ibrahim tentang "Anak Tempatan"


Dengan menolak andaian beliau bukan “anak tempatan”, Datuk Zaid Ibrahim yang malam tadi diumumkan calon Pakatan Rakyat (PR) bagi kerusi Hulu Selangor memberi jaminan kepada 64,000 pengundi bahawa mereka boleh mengharapkan “wakil rakyat yang baik” jika diberi mandat.

“Itu boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara bagi pihak dia (pengundi Hulu Selangor),” kata Zaid, bekas anggota Kabinet, malah tidak asing dalam arena politik negara ini.

Serangan pertama dituju ke arah beliau sebaik sahaja diumumkan sebagai calon adalah “Zaid bukan merupakan anak tempatan.”

Sehubungan itu tegas Zaid, soal anak tempatan atau pun tidak, ia bukan isunya dalam pilihan raya khususnya di Hulu Selangor.

Jelas Zaid, anak negeri Kelantan dan pernah bertanding di Kota Baru pada 2002, apa yang penting ialah sama ada wakil rakyat boleh memberi khidmat untuk memenuhi harapan dan menyelesaikan masalah pengundi.

“Ia (Hulu Selangor) hanya setengah jam perjalanan (dari ibu negara). Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang.

“Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan,” katanya.

“Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya?” katanya.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam, jelas Zaid, debat mengenai “budak tempatan” atau “orang muda” tidak perlu dijadikan isu pilihan raya kecil di sini.

Sehubungan itu menurut Zaid, atas kapasiti sebagai ahli politik sepenuh masa beliau meluangkan masa yang secukupnya untuk kepentingan masyarakat Hulu Selangor.

“Banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan.

“Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa.

“Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa,” kata beliau.

Berkelulusan undang-undang, Zaid, 59, diumumkan dengan rasmi sebagai calon PR-PKR bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Sambil merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikenali sebagai “Che Lah” dari Tumpat pada 1960-an, Zaid memberitahu, beliau mahu berperanan sebagai seorang “Ahli Parlimen yang prihatin.”

Katanya, wakil rakyat itu popular kerana khidmat yang diberikan kepada masyarakat sehingga walaupun enggan bertanding pengundi mendesaknya bertanding.

“Bagi saya itu model contoh. Saya tidak berminat dengan glamor-glamor... tak payah.

“Saya mahu rakyat mengingati saya sebagai ahli politik penyayang... rakyat mengingati saya, saya tidak kisah jika yang lain tidak suka saya,” kata beliau sambil menambah aspek geografi tidak menjadi satu masalah untuk mendampingi rakyat jikan diberikan mandat pada 25 April ini,

“Saya akan memiliki pejabat (kekal) saya di Hulu Selangor,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini. - TMI

Wednesday, April 14, 2010

Datuk Zaid Ibrahim Calun Bagi PR Di Hulu Selangor



HULU SELANGOR, 13 April — Datuk Zaid Ibrahim disahkan sebagai calon bagi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.


Status beliau secara rasmi diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Serendah di sini sebentar tadi.
Pengumuman ini dibuat kira-kira 12 jam selepas Biro Politik memutuskannya sebagai calon PR-PKR.

Turut hadir pemimpin-pemimpin kanan PKR, PAS dan DAP. Zaid, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, merupakan seorang peguam dan pengasas firma undang-undang Zaid Ibrahim & Co pada 1987.

Pada pilihan raya umum 2004, Zaid mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kota Baharu, tetapi tidak dipilih untuk pilihan raya 2008. Bagaimanapun, dia dilantik menyertai Kabinet Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 melalui jawatan senator.

Beliau, bagaimanapun, meletakkan jawatannya sebagai senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang pada penghujung 2008 sebagai tanda protes penahanan Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamaruddin dan pemberita akhbar bahasa Mandarin Tan Hoon Cheng.

Zaid kemudiannya menyertai PKR pada Jun 2009 selepas dipecat daripada Umno pada Dis 2008, atas sebab-sebab tertentu, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

BN dijangka mengumumkan calonnya Khamis ini bagi kawasan itu yang kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Penamaan calon adalah pada Sabtu ini.- MI



Syabas dan tahniah kepada Datuk Zaid setelah dipilih sebagai calun PRK Hulu Selangor. Buatlah apa yang terbaik untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat. PAS, DAP dan PKR harus bersatu dibawah satu matlamat untuk menumbangkan Umno-BN yang zalim. Kepada Datuk Zaid, anda adalah seorang yang berprinsip dan teruslah berjuang demi untuk rakyat....

Tuesday, April 13, 2010

Blogger Kecewa Jadikan Pas Sebagai Mangsa

KOTA BHARU, 12 April: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan seorang blogger yang kini menjadikan PAS sasaran kecamannya sebagai seorang yang kecewa.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerana tidak mendapat habuan yang diharapkan, dia menjadikan PAS sebagai mangsa termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Dia membuat pengakuan kononnya banyak membantu PAS dalam pilihan raya, sedangkan pengakuan tersebut langsung tidak disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas.

“Saya penuh meyakini dakwaannya banyak membantu kempen PAS di Kelantan merupakan satu pembohongan semata-mata. Hakikatnya, dialah yang mencari makan dengan kerajaan PAS sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, sebuah blog yang ditulis oleeh penulis kecewa itu mendedahkan beberapa dokumen secara terbuka melibatkan urusan parti dan kerajaan negeri.

Selain itu blogger terbabit mendakwa kerajaan negeri meminta mereka yang memohon tender kawasan balak memberi sumbangan kepada PAS Kelantan


Ahmad Fadhli berkata, kemungkinan apa dia lakukan hanyalah semata-mata untuk memperagakan kebolehan mencari maklumat dan dibeli dengan harga mahal oleh pihak lain.

“Saya juga mencabar dia membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika meyakini terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak 1990.

“Menteri Besar sering kali membuka ruang pintu siasatan kepada SPRM sepanjang masa bagi membuktikan ketelusan pentadbiran dan kesediaan untuk disiasat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, blogger terbabit tidak pernah membuat laporan polis atau SPRM biar pun begitu galak membuat pendedahan dalam blog.

“Ini kerana semua pihak tahu bahawa pendedahan yang dibuat tersebut tidak boleh diketagorikan sebagai penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Begitulah nasib seorang penulis blog upahan yang kecewa.. Setelah kontraknya tidak disambung, maka beliau menjadi pencacai. Rupa-rupanya beliau menyokong PAS bukan diatas prinsipnya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan tapi diatas kepentingan diri dan pulus..



Sumber-Harakahdaily

Sultan Sharafuddin Ucap Syabas, Tahniah - Kerajaan Selangor Bentuk Paradigma Baru.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya menunjukkan pelbagai peningkatan dalam tempoh dua tahun memerintah negeri ini.

"Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat kerana genap dua tahun selepas pilihan raya umum, semua Yang Berhormat bersemangat dalam memberi perkhidmatan terbaik," titah baginda.

Baginda juga menganggap kejayaan dalam dua tahun ini ialah prestasi tadbir urus kerajaan Selangor hingga mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara pada tahun lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus meyakinkan Sultan Sharafuddin bahawa kerajaan negeri pada masa ini, dapat mentadbir Selangor dengan baik.

Titah baginda, kerajaan yang baik, telus dan bertanggungjawab yang dilaungkan kepimpinan kerajaan sekali gus membentuk paradigma baru dalam menyampaikan mesej keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Baginda turut gembira kerana kebanyakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dapat merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai pendekatan yang dibuat.

Antaranya ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, program SPIES, pengagihan 10 peratus keuntungan kepada mereka yang berhak, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang, skim pinjaman mikrokredit, pembagunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dan pembangunan projek teknologi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali Ke-12 pagi tadi.

Sultan Sharafuddin bertitah kepada semua wakil rakyat supaya dapat memberikan khidmat terbaik selari dengan amanah yang diberikan rakyat.

"Beta berharap Dewan ini menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat. Mulakanlah dengan niat untuk bekerja dengan jujur, ikhlas dan betul dan berilah kerjasama yang perlu kepada pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah segala bentuk isu peribadi akibat perbezaan politik perlu diketepikan untuk rakyat kerana mahu melihat kerajaan Selangor mendapat manfaat dan menjalankan amanah rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa amalan check and balance perlu bagi memastikan semua kepentingan diteliti. Beta mahu semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik," titah baginda lagi./TVS

Monday, April 12, 2010

Wan Azizah: Umno-BN akan Tutup Isu Zionis Dalam PDRM


KUALA KUBU BAHARU 11 Apr - Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan mengapa sekarang Menteri Dalam Negeri mahu menyiasat dakwaan Ketua Umum KEADILAN berhubung pembabitan anasir Zionis Yahudi di dalam projek IT dalam Polis DiRaja Malaysia walhal isu itu telah didedahkan dalam media internet lebih dua tahun lalu.

Justeru itu beliau tidak yakin empat badan bebas yang akan dilantik Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat isu ini akan benar-benar bebas kerana akhirnya Umno-Barisan Nasional akan menutup kebenaran daripada diketahui rakyat.

"Mengapa mahu siasat setelah dua tahun isu ini diketahui masyarakat umum. Saya percaya badan yang menyiasat tidak akan bebas kerana akhirnya Umno-BN akan menutup kes ini seperti mana juga kes-kes lain sebelum ini.

"Kalau benar-benar mahu menyiasat tubuhkan Suruhanjaya DiRaja sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Umum dan Pakatan Rakyat," kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Sehubungan itu Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Fuziah Salleh mempersoalkan bagaimana badan bebas boleh jadi bebas jika ianya dilantik oleh Menteri di kementerian yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

"Bagaimana badan bebas itu boleh dianggap bebas kalau yang melantik adalah Menteri itu sendiri, yang sepatutnya melantik SuruhanJaya Bebas ini selalunya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong.

"Selagi ianya dilantik oleh Menteri dan Menteri berkenaan adalah daripada Barisan Nasional, ianya tidak mungkin bebas,

"Lantiklah empat atau sepuluh badan ianya tak mungkin bebas. Saya gesa kalau ada Suruhanjaya bebas ianya mestilah ditubuhkan oleh Yang DiPertuan Agong iaitu SuruhanJaya DiRaja dan itu baru betul-betul bebas," ujar Fuziah semasa ditemui pada perasmian Jentera Pilihan Raya Hulu Selangor Jumaat lalu.

Pada 6 April lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Parlimen kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.

Beliau turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu serta menamakan sebuah syarikat yang terbabit dan dikatakan berpengkalan di Israel. /SK

Sunday, April 11, 2010

PRK Hulu Selangor: Pemuda PAS Ikrar Menangkan Calun PR


KUALA LUMPUR, 10 April: Dewan Pemuda PAS (DPP) telah mengatur beberapa strategi bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat yang kan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

Ketuanya, Nasruddin Hassan (Gambar) berkata, pemuda PAS bertekad meneruskan siri kemenangan Pakatan Rakyat pada PRK seprti seperti sebelum ini.

"DPP telah membuat komitmen yang tinggi bagi membantu calon Pakatan Rakyat bagi memenangi pilihanraya kecil di P.094.

"Jabatan pilihanraya pemuda telah mengatur beberapa strategi untuk mengulang kembali kejayaan Pakatan rakayat dalam siri-siri pilihanraya kecil sebelum ini, katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan dewan itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Mengulas isu keselamtan pula beliu melahirkan rasa bimbang dengan pengumuman pihak polis yang akan menempatkan hanya 1000 anggota di Hulu Selangor.

Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah itu masih kecil dan mahu peristiwa kekecohan pada PRK Bangan Pinang sebelum ini tidak berulang.

"Ini memungkinkan strategi (Umno) yang sama di Bagan Pinang akan berulang di Hulu Selangor"

"Kita tidak mahu terlalu ramai anggota polis sehingga wujud suatu suasana bandar polis tapi kita juga tidak mahu kawalan terlalu longgar sehingga mudah mencetuskan kekecohan.

Bagaimanapun beliau turut menasihatkan para petugas dan jentera Pakatan Rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi dan memfokuskan kerja untuk memenangkan calon Pakatan. /Harakahdaily


Hulu Selangor, Anak Tangga Ke Putrajaya


KUALA KUBU BAHARU 10 April - Pakatan Rakyat semalam melancarkan secara rasmi jentera pilihan raya bagi Parlimen P094 Hulu Selangor dengan menganggap kemenangan pada 25 April depan sebagai "anak tangga" terpenting merealisasikan impian menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Pelancaran yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Kuala Kubu Baharu disaksikan lebih 3,000 penyokong dan petugas Pakatan Rakyat dari KEADILAN, PAS dan DAP dari seluruh negara.
Khalid yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor menegaskan perjuangan Pakatan Rakyat pada PRK ini bukan setakat membela nasib rakyat Selangor tetapi juga untuk selkuruh rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan.
"Kita berjuang sekarang bukan hanya untuk rakyat negeri Selangor tetapi untuk negara kita Malaysia yang memerlukan pembelaan dari terus diperintah oleh pemimpin yang zalim, pemimpin yang membenarkan campur tangan luar dalam urusan keselamatan negara seperti Apco yang terang-terang terlibat dengan Zionis-Israel.
"Saya telah bekerja lebih 750 hari dan setiap hari saya bertanya adakah sudah cukup tenaga saya untuk rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga saya berada kedudukan sekarang. Saya perlu bekerja keras untuk rakyat Selangor kerana tanpa mereka saya tidak akan berada disini.
"Kita tidak boleh tipu rakyat dan juga mengambil hak rakyat, hak mereka kita perlu pulangkan kepada mereka bukannya menjadi milik kita. Perjuangan kita bukan senang banyak lagi yang kita perlu lalui, disebabkan amanah rakyat perjuang Pakatan Rakyat tidak boleh lari dari landasan yang sebenar.
"Kemenangan di Hulu Selangor adalah isyarat kita untuk menang di Sibu dan juga tangga kita ke Putrajaya sudah semakin hampir," kata beliau di Dewan Kuala Kubu Baharu.
Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali yang juga turut hadir menjelaskan bahawa rakyat perlu sedar apa yang telah Barisan Nasional lakukan kepada negara ini yang membiarkan campur tangan asing.
"Kita mahu rakyat sedar apa yang telah kerajaan lakukan, kita tidak perlu campur tangan Apco dalam pentadbiran negara ini dan BN perlu belajar dari Pakatan Rakyat bagaimana ingin mentadbir negara tanpa campur tangan luar. Lihat bagaimana kita mentadbir negeri Selangor.
"Kita lihat bagaimana perpaduan dalam Pakatan yang mana PAS dan DAP telah memberi persetujuan agar KEADILAN yang membuat keputusan bagi calon pilihan raya kecil ini, kita tidak seperti BN yang berebut hendak meletakkan calon masing-masing.
"Calon yang kita pilih benar-benar komited dan mantap, calon yang boleh bekerja untuk segenap lapisan masyarakat dan kaum. Kemenangan kita pada pilihan raya ini akan membawa kemenangan kita di Sibu nanti dan ini menandakan kita semakin hampir ke Putrajaya," tegasnya.
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menjelaskan kemenangan di Hulu Selangor sebagai tanda untuk Pakatan merampas negeri Melaka.
"Kekuatan jentera yang ada ini dalam mengekalkan kemenangan kita adalah isyarat kepada kita bahawa dengan kekuatan seramai ini kita akan dapat menawan negeri Melaka kerana saya difahamkan saiz Hulu Selangor sebesar negeri Melaka.
"Kemenangan ini juga untuk kita menghalang kezaliman BN dari terus menindas rakyat. Jentera PAS sudah bersedia dari awal lagi untuk membantu kemenangan calon dari KEADILAN dan kita bergerak atas landasan yang sama," jelas beliau.
Ahli Parlimen Kepong yang juga Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw percaya dengan jentera seramai 3,000 petugas mampu menembusi kubu kuat Umno di setiap ceruk Hulu Selangor.
"Dengan kekuatan ini saya percaya tempat-tempat yang menjadi kubu kuat Umno dapat kita tempuh dan serang, dan kemenangan pada 25 April nanti membuktikan bahawa Umno tidak lagi menjadi pilihan kepada rakyat.
"Kita tidak perlu menjadi macam Najib yang hanya tahu cakap sahaja, janji setiap kali pilihan raya tetapi tidak ditunaikan. Apa yang kita perlu buat adalah tunaikan apa yang kita cakap kerana itu yang rakyat nak," tegas beliau.
Majlis tersebut yang juga turut dihadiri beberapa Exco kerajaan negeri dan juga ahli-ahli Parlimen telah menguatkan semangat jentera yang tidak sabar untuk memulakan tugas berjuang bagi memastikan BN terus berkubur di Hulu Selangor. - SK
Harap-harapkan kerjasama erat diantara pkr, dap dan pas terus berkekalan dan gerak kerja dan muafakat hendaklah ditingkatkan agar mesej dan maklumat sampai kepada pengundi di Hulu Selangor. Insyaallah kemenangan akan menyebelahi kepada kebenaran.

Saturday, April 10, 2010

Perlembagaan Persekutuan Tentukan Kerayatan, Bukan UMNO.


KUALA LUMPUR, 9 April: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, soal kerakyatan bukan Melayu sudah lama selesai dan generasi Cina, India dan kaum bukan Melayu yang menjadi warganegara telah diberikan kerakyatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukan Perlembagaan Umno.

Justeru, katanya PAS kesal dengan ucapan perkauman Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu kerakyatan kepada bukan Melayu di negara ini yang didakwa perlu berterima kasih kepada Umno.

Malah, katanya selepas lebih 52 tahun negara ini merdeka, rakyat bukan Melayu telah memberikan banyak sumbangan kepada pembangunan negara dan mereka seharusnya tidak dijadikan bahan politik untuk dihina demi untuk menunjukkan Umnolah juara rakyat sebenarnya.

“Ucapan Noh ini bukan pertama kali keluar dari mulut pemimpin Umno. Februari lepas Datuk Nasir Safar, pegawai khas Perdana Menteri turut membakar kemarahan kaum bukan Melayu dengan menggelarkan kaum Cina dan India di negara ini sebagai pendatang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS menolak sebarang ucapan, slogan atau kempen perkauman yang diterapkan oleh Umno dan BN kerana jelas ia hanyalah merugikan rakyat.

Tambahnya lagi, isu perkauman dan kewarganegaraan tidak seharusnya berbangkit dan PAS berharap kaum Melayu dan bukan Melayu dapat hidup dengan harmoni di negara ini serta menghormati hak masing-masing.

“PAS menyeru komponen BN menilai kedudukan mereka dalam BN kerana akhir-akhir ini Umno sudah kembali menunjukkan dasar perkaumannya. Umno hanya menjual slogan demi slogan bagi menarik sokongan rakyat,” ujarnya.

Malah, ujarnya lagi dalam konvensyen yang Noh berucap itu, hanya lagu BN dan Umno sahaja yang dinyanyikan seolah-olah dalam BN hanya ada parti Umno sahaja.

Katanya, jawapan pengerusi penganjur konvensyen, yang mendakwa tidak melihat sebarang isu dalam hal itu menjelaskan lagi sikap Umno yang memandang kecil kehadiran komponen lain BN semasa majlis itu.

Malah, beliau menambah Umno sampai hari ini tidak pernah berhenti menyalahkan MIC dan MCA di atas kekalahan teruk mereka di Selangor.

“Oleh itu, PAS melihat komponen BN bukan Melayu kini ibarat anak tiri yang sudah kematian bapa. Sudah kalah, Umno pun tak pandang,” ujarnya.

Beliau berkata, PAS juga yakin, rakyat akan menghukum BN dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno dan komponen lain yang masih bacul untuk meninggalkan BN kerana menjaga periuk nasi mereka.
Sumber Harakahdaily

Friday, April 9, 2010

Ahli Parlimen Bandar Sibu Meninggal Dunia.. Satu Lagi Pilihan Raya Kecil.


KUALA LUMPUR 9 April - Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew, 68, yang juga anggota Parlimen Bandar Sibu meninggal dunia hari ini akibat barah di Hospital Selayang.


Setiausaha Sulitnya, Peter Hu mengesahkan Lau meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi dan persiapan sedang diadakan untuk membawa jenazah mendiang ke kampung halamannya di Sibu.


Beliau adalah ahli jawatankuasa kerja tertinggi SUPP dan menyertai parti sejak 1982.

Satu pilihan raya kecil dijangka akan diadakan oleh Suruhan jaya Pilihan Raya dalam tempoh 60 hari yang menjadikan kesemuanya 11 PRK sejak Pilihan Raya Umum 2008.


Sebelum ini, Sarawak menghadapi pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum 2008 iaitu DUN Batang Ai pada 7 April 2009. Kerusi itu dimenangi Barisan Nasional setelah mengalahkan calon KEADILAN.


Lau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 27 Mach 2004 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan selepas PRU 2008.


Dalam blog beliau, Lau menceritakan bahawa beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga petani miskin yang terpaksa mendirikan sebuah rumah rumah yang diperbuat daripada kulit kayu.

Beliau kehilangan ibunya pada usia 5 tahun dan diasuh oleh abang, kakak serta kakak ipar.Lau mengalami zaman remaja yang susah tetapi berkata ketekunan dan usaha kuat dan bantuan daripada tiganya beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang perakaunan selama tiga tahun di University of South Australia.

Impian beliau sebagai Ahli Parlimen Sibu ialah untuk membangunkan bandar itu sebagai pusat IT bagi Sarawak serta membantu golongan miskin.

Lau memenangi kerusi tersebut undi setelah menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang pada PRU ke-12 dengan majoriti 3,235.


Lau memperolehi 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim 812 undi

Kawasan Parlimen Bandar Sibu P212 mempunyai 53,679 pengundi berdaftar yang terdiri daripada majoriti pengundi Cina (60 peratus) diikuti oleh kaum Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Sumber- SK

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...