Sunday, August 25, 2013

Undang-undang apa perlu untuk buktikan pembunuh?


Undang-undang apa yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan mereka yang membunuh Altantuya Shaariibuu dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Sebelum ini, Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) berkata, beliau berharap dikembalikan dikembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) untuk membantu pihaknya menangani jenayah dengan lebih berkesan.


"Sekarang, apabila Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Altantuya, undang-undang apa, tatacara penyiasatan serta prosedur pertuduhan yang bagaimana pula yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan mereka yang membunuh Altantuya Shaariibuu dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga yakin, sudah sampai masanya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes pembunuhan Altantuya itu.

"Beberapa kes seperti kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes video (Datuk) V K Lingam dapat memperlihatkan kepada rakyat penyiasatan yang berkesan dapat dilakukan melalui penubuhan suruhanjaya siasatan diraja.

"Kes pembunuhan Altantuya juga nampaknya memerlukan suruhanjata siasatan yang sama untuk membolehkan dikenalpasti tanpa keraguan lagi kesemua yang terlibat dalam pembunuhan wanita malang itu," katanya.

Bagi Salahuddin, rakyat perlu menuntut dan mendesak tindakan yang sewajarnya untuk menangani kes itu bagi mengelakkan Malaysia menjadi bahan persendaan.

"Apa yang berlaku itu memberi kesan yang sangat memalukan kepada sistem perundangan di Malaysia serta perlaksanaannya.

"Bila kedaulatan undang-undang terhakis sehingga ke tahap yang memalukan, ia bukan sahaja memburukkan imej negara malah menakutkan pelabur," katanya.

Keadaan itu memburukkan lagi keadaan di negara ini, kata beliau lagi, kerana sebelum ini pun dilaporkan bahawa para pelabur asing bimbang tentang keadaan keselamatan di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Setev Shaariibuu, bapa kepada Altantuya, sangat sedih dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan dua bekas anggota polis yang dituduh membunuh anaknya pada Oktober 2006 itu.

"Tiba masanya kerajaan Mongolia membuat kenyataan berhubung keputusan itu," Malaysiakini memetik beliau berkata.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...