Wednesday, July 31, 2013

Kerajaan mesra pembekal, tidak kepada pengguna


Tindakan kerajaan menetapkan harga siling barangan tertentu selepas harga dinaikkan menunjukkan kerajaan lebih mesra pembekal berbanding pengguna.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan berhelah dengan menetapkan harga siling untuk memberikan 'situasi menang-menang' kepada pembekal dan pengguna namun hakikatnya pengguna yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang.

"Saya bersetuju perlu ada harga yang tetap untuk mengelak daripada peniaga memanipulasi harga barang tapi isunya ialah mahu tidak mahu pengguna terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang sebab kerajaan sendiri dalam menentukan harga kawalan sudah menaikkan harga barang terlebih dahulu.

"Kerajaan lebih mesra kepada pihak pembekal, dan pemborong tidak kepada pengguna dan menjadikan pembekal diutamakan dan rakyat dipinggirkan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini, hari ini.


Memberi contoh harga siling ayam yang ditetapkan kepada RM7.70 sekilogram, beliau berkata, harga tersebut ditetapkan selepas harga ayam dinaikkan daripada sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram kepada RM8 sekilogram sebelum Ramadan.

"Contohnya harga ayam sebelum ini di pasaran cuma sekitar RM6 hingga ke RM7 sekilogram namun pada awal Ramadan ia dinaikkan sehingga RM8.

"Selepas harga naik baru kerajaan menetapkan harga paras siling RM7.70 kononnya ingin memberikan situasi menang-menang kepada pengguna peruncit dan pembekal,” katabeliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat itu juga berkata, penubuhan Skuad Pengguna di seluruh negara untuk memantau harga barangan dan perkhidmatan tidak memberikan kesan selagi kerajaan mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Walaupun pihak kerajaan telah membuat operasi melalui Skuad Pengguna yang akan pantau harga barang untuk buat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, tapi saya tak lihat keberkesanan yang baik untuk membendung masalah kenaikan harga barang.

"Kerajaan hanya membendung kenaikan harga barang selepas daripada ditentukan harga kawalan menjelang musim perayaan dan harga kawalan itu sudah ditentukan dengan dinaikkan oleh pihak kerajaan sendiri," katanya.

Sementara itu, Mahfuz Omar dalam sidang medianya hari ini menegaskan, laporan mengenai fahaman Syiah oleh media sebenarnya mendorong umat Islam khususnya generasi muda untuk terjebak dengan fahaman tersebut.

Malah apa yang membimbangkan katanya, mereka yang tidak mengetahui tentang fahaman tersebut mula ingin mengetahui mengenainya.

Jelasnya, isu ini sepatutnya dibendung dengan cermat tanpa mendapat sebarang publisiti daripada media.

"Saya setuju dengan cara pihak berkuasa membendung fahaman Syiah di negara ini tetapi pendekatan yang dilakukan perlu diperbaiki.

"Pihak berkuasa agama seharusnya memanggil penganut Syiah untuk mengenal pasti penyebar fahaman tersebut dan memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, " katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...