Friday, June 7, 2013

Pemilihan: Mana demokrasi dalam Umno?


Cadangan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu akan datang mewujudkan persoalan adakah demokrasi dalam Umno kini sudah berkubur.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan seumpama itu hanya memperlihatkan bahawa Umno kini seperti mengamalkan autokrasi.

"Saya hairan bagaimana Umno sebagai sebuah parti politik yang diperkatakan mengamalkan konsep demokrasi tidak mahu bersikap terbuka dengan cadangan agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.



"Kenapa mereka takut sedangkan pilihanraya sudah pun berlalu dan mereka sendiri mengakui prestasi serta sokongan meningkat, jadi kenapa masih bimbang jika kedua-dua jawatan itu dipertandingkan," jelasnya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan membuka ruang kepada ahli untuk mencabar kedua-dua jawatan tersebut sebenarnya dapat menilai prestasi Presiden dan Timbalan Presiden sama ada mereka popular di kalangan ahli atau pun tidak.

Malah menurut beliau lagi tindakan tersebut juga dilihat sebagai satu budaya baru di dalam Umno yang tidak boleh bertanya atau mempersoalkan pimpinan tertinggi.

"Umno sekarang mengamalkan budaya iaitu ahli tidak boleh mempersoalkan pimpinan utama, malah ahli juga tidak boleh bertanya apa yang pimpinan utama lakukan.

"Budaya ini terus meresap dalam akar umbi Umno sehinggakan ia menyekat ruang mereka yang di bawah untuk mencuba nasib menjadi pimpinan baru kerana segala-galanya telah disekat," sambung beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong kedua-dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan.

Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menyokong agar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada kini terus dikekalkan.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...