Tuesday, May 1, 2012

Polis ganas: Transformasi Najib paling 'berjaya'


             Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan transformasi yang paling 'berjaya' dalam transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah menjadikan imej polis dari ganas menjadi lebih ganas.
             Malah beliau turut 'berbangga' menjadi rakyat Malaysia di bawah Najib kerana mempunyai anggota polis yang bertambah ganas dari tentera Israel.

"Bagi saya apa yang berlaku pada 28 April lepas merupakan transformasi yang paling berjaya di bawah pemerintahan Najib yang telah mengubah imej polis dari ganas menjadi lebih ganas," jelasnya kepada media di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, hari ini.


Tambahnya lagi, beliau telah lama mengikuti himpunan namun himpunan kali ini merupakan satu himpunan paling ganas.

"Sudah 30 tahun saya mengikuti himpunan aman tapi apa yang berlaku Sabtu lepas merupakan paling ganas, saya ulangi kejayaan Najib paling berjaya.

"Lebih ganas dari Israel bila berdepan rakyat Palestin tapi itu berlainan bangsa tetapi polis Malaysia satu kaum dan bangsa mereka boleh bertindak sedemikian," sambungnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan kekesalan apabila pihak polis bertindak tanpa belas kasihan.

"Kita melihat kaum wanita dan kanak-kanak juga turut dipukul malah ada juga yang dipijak oleh polis.

"Ini adalah satu keganasan yang teruk dilakukan oleh polis, malah mereka bertindak di luar perikemanusiaan mereka," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat.

Siti Zailah juga turut mendesak agar satu Suruhanjaya Khas dibentuk bagi menyiasat keganasan tersebut dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...