Sunday, October 31, 2010

Saya Minta Tuan-Tuan Balik Mengundi , Dosa Besar Kita Jika Biarkan Orang Munafik Merosakkan Ekonomi Kita - Nik Aziz

Balik Mengundi Sekali Pun Merangkak
Pengundi Dun Galas di perantauan digesa pulang mengundi pada 4 November ini sekalipun terpaksa merangkak, kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, adalah menjadi satu kewajipan untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin sama ada di peringkat negara, negeri mahupun Dun, di kalangan orang yang beragama.

"Saya mintak tuan-tuan balik, kalau tak dapat balik dengan kapal terbang, balik dengan kereta, kalau tak boleh dengan kereta, balik berjalan kaki, meranggakak sekali pun kena balik.

"Dosa besar kita biar orang kafir, orang munafik 'ghanya' (merosakkan) ekonomi kita, akidah kita," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 100 anak-anak Dun Galas di perantaun pada Majlis Minum Teh bersama Menteri Besar Kelantan di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.

Umno Tidak Layak Bercakap Soal Agama Sedangkan Dalam Masa Yang Sama Mereka Anjurkan Maksiat

Pas Beri Amaran Kepada Umno Jangan Main Kotor Di Galas
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberi amaran agar Umno-Barisan Nasional tidak menggunakan taktik kotor demi meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil Galas.

Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata usaha tersebut merupakan tindakan golongan terdesak atau desperado yang mahu mendapatkan kemenangan bagi mengembalikan momentum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Pemimpin Umno-BN seakan terlupa soal dosa dan pahala apabila cuba memfitnah calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad dengan memainkan isu beliau ditangkap khalwat.

"Kita menegaskan isu itu tidak pernah timbul dan hanya bersifat fitnah semata-mata kerana Dr Zulkifli tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kes khalwat.

Apa yang lebih mengecewakan, Umno-BN sekali lagi memainkan isu agama apabila cuba melaga-lagakan antara PAS dan DAP.

Ini merupakan usaha lapuk bagi menjarakkan pengundi khususnya yang beragama Islam daripada PAS dan DAP.

Umno-BN Semakin Terdesak Sehingga Sanggup Mengunakan Isu Perkauman


Kemenangan Galas Isyarat Ke Putrajaya
Pakatan Rakyat (PR) mahu memastikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi isyarat penting untuk menawan Putrajaya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka semakin hampir diumumkan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bekerja bagi memastikan kemenangan dicapai pada PRU-12 lalu dipertahankan dan ia perlu dimulakan di DUN Galas.

Beliau juga turut mengharapkan agar berlaku peningkatan undi dalam semua saluran mengundi pada PRK kali ini.

“UMNO-BN kini semakin terdesak apabila mengalami kemerosotan sokongan rakyat sehingga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman yang mencetuskan masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya harap agar berlaku peningkatan undi dalam kalangan semua kaum di Galas ini supaya menjadi isyarat kita untuk ke Putrajaya,” katanya dalam satu ceramah perdana di Kampung Sungai Terah, semalam.

Najib Khianat Terhadap Rakyat, Tidak Menghormati Demokrasi - Nizar

 "

UMNO biadap dan khianat terhadap rakyat. UMNO akan mempertahankan Putrajaya biarpun tubuh berkecai daripada badan."

Kata-kata yang dilafazkan oleh Najib di Perhimpunan Agung ke-51 baru-baru ini jelas menunjukkan Najib tidak menghormati demokrasi negara. Sepatutnya Najib berserah kepada kehendak rakyat, barulah 'gentleman', kata Yang Berhormat Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sewaktu memberi ceramah di Lepan Tupai semalam.

"Najib beritahu bahawa UMNO parti muslim dan UMNO berkehendakkan Islam. Namun perkara yang Allah larang Najib buat juga contohnya meluluskan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo yang memperagakan busana yang tidak langsung mencerminkan identiti Islam. Malah Umno turut meluluskan lesen-lesen judi dan ini merupakan salah satu lagi kebiadapan UMNO.

KELANTAN JUARA 'PIALA MALAYSIA' 2010

Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Gambar ihsan - S.S. Kanesan, The Star  
Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

 "Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

VIDEO - Saksikan Gol-Gol Kemenangan Pasukan Kelantan (The Red Warriors)



Ustaz-Ustaz Umno Disuruh Berkempen Untuk Menghalalkan Cara Meski pun Bertentangan Dengan Islam



Umno Peralat Agama, Orang Agama Untuk Politik
Umno bukan sahaja mahir memperalat agama, malah orang agama juga dipergunakan untuk kepentingan politik mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.(gambar)
Katanya, dakwaan berhubung perkara itu bukan fitnah, tapi realiti yang sudah diketahui umum.

Beliau merujuk kepada cara kempen Umno di Galas yang memainkan isu agama.

"Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat.

"Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan umno BN," katanya.

Namun apa yang menghairankan katanya, ketika isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo, Monarco pada 9 Ogos 2010, orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur

Saturday, October 30, 2010

PRK Galas: Aziz Sebagai Calon, Banner Dan Gambar Ku Li Yang Ditonjolkan


Siapa Sebenarnya Calon BN Di Galas .. Aziz Atau Ju Li?
 Bahang pilihanraya kecil N.45 Galas semakin hangat, apabila pelbagai sepanduk dinaikkan oleh parti yang bertanding. Namun begitu, timbul persoalan apabila sepanduk yang dinaikkan oleh BN lebih banyak menentang calon PAS dan menonjolkan pengarah pilihanraya mereka, Ku Li berbanding calon.

"Ku Li jaga hak kita", "Ku Li Intelek" dan sebagainya, namun tiada langsung sepanduk mempromosi calon mereka sendiri, Abdul Aziz Yusof, seolah-olah beliau tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk dijadikan modal kempen.


Senator Mumtaz Md Nawi (gambar) ketika ditanya berhubung perkara ini, beliau berkata; "Perkara ini sudah biasa di dalam politik Umno. Perlantikan Ku Li sebagai pengarah jentera pilihanraya Umno hanyalah helah mereka. Tidak pelik kalau mereka menentang Ku Li di dalam isu royalti tetapi mengiktiraf Ku Li di Gua Musang."

Setelah Menyokong Pas, Masyarakat Tionghua Dinafikan Mendapat Baja Subsidi


PRK Galas - Gara-Gara Sokong Pas, Baja Subsidi Getah Ditarik Balik
Umno kini benar-benar terdesak dalam misi merampas Kelantan apabila kemarahan mereka dilepaskan kepada masyarakat Cina di Kampung Pulai gara-gara mendirikan pos PAS dan Pakatan Rakyat.

Ramai pekebun masyarakat Tionghua di Kampung Pulai kini dinafi mendapatkan baja subsidi setelah mereka mempamerkan sokongan terbuka kepada calon PAS.

Seorang pekebun yang namanya enggan dikenali berkata, selepas mereka mendirikan pos Pakatan Rakyat di kampung tersebut, senarai namanya dibuang daripada mendapat bantuan subsidi baja getah.

“Nama kami dibuang serta merta dari senarai penerima baja bantuan tanaman getah. Sedangkan sebelum ini bantuan baja diberi tanpa sebarang masalah.

“Ini menggambarkan Umno benar-benar terdesak kerana bantuan baja bukan dari sumber duit Umno sebaliknya hasil cukai yang dibayar rakyat,” katanya kesal, ketika ditemui di sini.

Pengundi Hantu Akan Menentukan Kemenangan Umno Di Galas

Umno Dikhuatiri Guna Pengundi Hantu Di Galas
Umno dikhuatiri menggunakan taktik terakhir iaitu pengundi hantu bagi menghadapi PAS pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada 4 November ini.

Taktik itu merupakan senjata terakhir yang pernah dibuktikan di mahkamah tinggi ketika petisyen pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2006.

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, taktik itu disyaki digunakan jentera Umno melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan kad pengenalan milik orang lain kepada pengundi hantu.

“Mereka disyaki menggunakan taktik tersebut selepas mendapati jentera kempen Umno masih berada di belakang berbanding PAS.

Friday, October 29, 2010

Kerjasama PAS Dengan DAP, Umno Jadikan PAS Hantu Untuk Menakut-nakutkan Masyarakat Cina


Fatwa 'Ikut Suka Pas': Umno Keliru Dan Terus Keliru


Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

PRK Galas - Pakatan Rakyat Mengunjongi Penduduk Tionghua Di Kampung Pulai

Jentera Pakatan Tawan Hati Masyarakat Tionghua
Kesungguhan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad begitu terserlah dalam pilihan raya kecil Dun Galas kali ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,(gambar) kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya menggambarkan keutuhan parti yang menakutkan Barisan Nasional.

“Kita tengok pergerakan jentera parti ini boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS,” ujarnya.

Beliau ditemui ketika bersama Dr Zulkefli dalam siri kunjungan muhibbah ke Kampung Pulai yang mempunyai 471 pengundi, majoritinya kaum Tionghua.

Nurul Izzah juga berkata dalam masa berkempen, penerimaan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS amat memberangsangkan seperti lawatan di Kampung Baru dan Kampung Pulai.

Melayu Pun Tidak Terbela, Islam Pun Tidak Terjaga, Nasib Umno Umpama Lebai Malang

Kerjasama : Umno Umpama Lebai Malang
Umno terus membayangkan fobianya terhadap PAS apabila terus bertindak menghentam parti itu dalam isu kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas.

Thursday, October 28, 2010

Pasar Malam , Pasar Tani Serta Pasar Minggu Bakal Ditutup Menjadi Nostalgia Buat Selama-lamanya

ETP : Tiada Lagi Pasar Malam, Bazaar Makan Ganti Gerai
Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu akan menjadi nostalgia apabila ia bakal digantikan dengan Pasar Komuniti, mengikut bidang ekonomi utama negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Isnin lalu.

Tujuan rancangan kerajaan itu adalah menyelaraskan beberapa pasar berkenaan dan menyatukan mereka di lokasi-lokasi yang mempunyai persekitaran yang kondusif.

“Pada masa ini, pasar-pasar tersebut menghadapi cabaran prasarana.

“Mereka beroperasi di beberapa lokasi sementara (contohnya,; padang permainan,tempat letak kereta, di tepi jalan raya) yang sering menyumbang kepada kesesakan dan keadaan kotor,” petik laporan ETP itu.

Projek ini dijangka menyaksikan peniaga terpaksa berbelanja lebih kerana pasar tradisional mereka sekrang ini adalah murah - mereka boleh menyewa satu lot untuk kurang RM10 sehari.

PRK Galas - Pas Diserang Dengan Sentimen Agama


Lawan Pas Mainkan Sentimen Agama Di Galas
Baru sehari penamaan calon Galas berlangsung dan hari ini, penduduk Gua Musang mula melihat lawan kepada PAS mula menyerang parti Islam itu dengan isu agama.

Padahal, baru semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein memberikan amaran agar juru kempen pilihan raya ini tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka.

Di bandar Gua Musang, orang ramai terkejut banner yang mempermainkan sentimen agama digantung oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan lawan masing-masing yang terbukti ia termasuk dalam sentimen agama yang dihalang Hishamudin dari dipermainkan.

Banner itu yang mempamirkan apa yang dikatakan laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu- Karpal Singh".

Banner itu mempertikaikan kenapa PAS masih menyokong DAP yang disifatkan mereka sebagai harbi (kafir harbi).

Wednesday, October 27, 2010

Fitnah Khalwat- Pemilik Blog Sudah Memohon Maaf, Saya tidak akan Saman Kata Calon Pas, Dr Zul

Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad kelihatan melepasi ‘halangan pertama’ saingan dengan menegaskan beliau telah memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan fitnah kononnya pernah ditangkap khalwat.

Beliau berkata, pihak yang menyiarkan berita tersebut telah pun memohon maaf dan telah menyedari akan kesilapan yang dilakukan.

“Kes ini sudah selesai, saya tidak akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak tersebut,” kata beliau di sini hari ini.

“Blogger yang siarkan cerita itu sudah minta maaf secara terbuka dan menyedari ia adalah tidak benar,” kata beliau ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang hari ini.
Zulkefli Mohamad


Kelmarin, beliau dipetik berkata, laporan blog dan kemudian disiarkan oleh Umno Online adalah fitnah yang dilakukan dengan sengaja mahu memburukannya nama beliau.

Sehubungan itu beliau bersama peguamnya bercadang mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama meminta fitnah dimansuhkan daripada laman web Umno Online dan sekiranya tidak dipatuhi tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh tindakan bergantung kepada tindakan dilakukan Umno Online terhadap permintaan pertama itu,” katanya kelmarin.

Zulkefli sejak hujung minggu lalu menjadi sasaran media rasmi Umno iaitu Umno Online yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Serangan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas nama beliau diumumkan sebagai calon PAS.-Baca Lagi... Seterusnya ..{Di sini}

Demi Perubahan Kepada Negara, PAS Perlu Kerjasama Dengan DAP Sebagai Rakan Dalam Pakatan Rakyat

Hadi - PAS, DAP Jalin Kerjasama Demi Perubahan
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memulakan kempen pilihan raya kecil di DUN Galas malam tadi dengan menegaskan bahawa parti itu dan DAP menjalankan kerjasama selama ini adalah untuk membawa perubahan kepada negara.

Dalam mencapai matlamat itu kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi “jambatan” antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

“Walaupun DAP bukan parti Islam tapi PAS menjalin kerjasama dengan DAP kerana mahu melakukan perubahan terhadap pimpinan kerajaan sekarang,” kata beliau.

Kerjasama PAS dan DAP menjadi kritikan Umno termasuk ketika Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Dalam ceramahnya itu, Hadi terus mengutuk tindakan Barisan Nasional (BN) yang melantik Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil BN sambil menyifatkan parti itu tidak menghormati pemimpin yang lebih senior.

Video Di Hari Penamaan Calon Di Galas

Proses penamaan calon PRK Galas dan perarakan penyokong Pakatan Rakyat dan BN berjalan dengan baik dan tiada sebarang insiden. Di sini dapat  kita lihat Video  perarakan menuju ke pusat penamaan calon di Galas.Anggaran jumlah penyokong PAS yang hadir di hari penamaan calon antara lapan hingga sembilan ribu sedangkan di pihak BN hanya sekitar tiga ribu lebih sahaja.





Tuesday, October 26, 2010

Mohd Sabu - Kita Mahu Mendapat Kuasa Secara Terhormat Melalui Mandat Rakyat, Bukan Dengan Cara Menipu

Pakatan Rakyat Hanya Mahu Ke Tampuk Kuasa Melalui Proses Demokrasi
PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat dengan menggunakan jalan demokrasi untuk mencapai cita-cita menubuhkan kerajaan persekutuan walau apa pun pelbagai label dan cercaan yang dilemparkan oleh Umno-Barisan Nasional kepada kepimpinan parti itu semasa kempen pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata Pakatan Rakyat berpegang kepada prinsip mendapat kuasa menerajui negara cara terhormat iaitu melalui proses pengundian yang telus dan luhur serta adil tanpa ada penipuan dan pembohongan dalam pilihan raya.

"Kita mahu mendapat mandat dan kuasa dengan cara yang terhormat dan bukannya dengan cara songlap atau pintu belakang.

"Walaupun Umno dilihat cuba meniupkan semangat kebangsaan Melayu secara berkobar-kobar dalam perhimpunan agung mereka baru-baru ini, namun ia tidak sedikit pun menggugat atau melemahkan semangat kita dalam PR.

Monday, October 25, 2010

Satu Projek Baru 'Pusara Negara', Satu Projek Pembaziran Wang Rakyat Oleh Umno-BN


RM70 Juta Lubang Kubur Untuk VIP Satu Lagi Projek BN
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan berdasarkan buku belanjawan negera terdapat satu projek baru yang dipanggil sebagai 'pusara negara'.

“ada projek baru yang namanya pusara negara, berapa lubang kubur (ada) 500 lubang kubur, 250 lubang kubur untuk VIP Islam dan 250 lubang kubur untuk VIP bukan Islam,”katanya ketika menyampaikan ceramah sempena sambutan Kelantan Membangun Bersama Islam di sini semalam.

Menurutnya, projek pusara negara tersebut akan dibangunkan dikawasan tanah bersebelahan Tugu Negara Kuala Lumpur.

Isu Fitnah Khalwat- Jika Tidak Ditarik Balik, Beliau Akan mengambil Tindakan Undang-Undang

Fitnah: Dr Zulkefli Akan Ambil Tindakan Undang-Undang
Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Dr Zulkefli Mohamad (gambar) berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama peguamnya, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya pada sidang media semalam.

Setiausaha Bahagian Gua Musang Dipilh Sebagai Calon Umno Di PRK Galas

Umno Pilih Setiausaha Bahagian Calon Galas
Barisan Nasional(BN) menamakan Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 47, sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas pada 4 Nov depan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Muhyiddin berkata Abdul Aziz merupakan calon yang masih muda dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Katanya, Abdul Aziz merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda.

Muhyiddin mengumumkan nama calon BN itu di Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati.

Hadir sama ialah pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad.

Tengku Razaleigh adalah ahli parlimen Gua Musang dan juga ketua Umno bahagian berkenaan.-TVS

Cuti Peristiwa 4 Nov Di Kelantan Sempena Pilihan Raya Kecil Galas

Kelantan Isytihar 4 Nov Hari Cuti Peristiwa
KOTA BAHARU 24 Okt - Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 Nov iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Okt ini.- Bernama

Sunday, October 24, 2010

Jika Umno Gagal Menawan Galas, Ku Li Akan Jadi Kambing Hitam

Agenda Sulit Umno Aibkan Ku Li Di Pilihanraya Galas?
UMNO mempunyai agenda tersembunyi melantik Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Umno-BN bagi pilihanraya kecil Galas dan ia berkait rapat dengan budaya menabur fitnah peribadi yang sinonim dengan parti berkenaan.
Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kanan) berkata UMNO tidak ubah seperti talam dua muka yang cenderong kearah kepura-puraan.
Beliau berkata, dalam pada UMNO sendiri menyerang dengan menyebarkan tohmahan dan fitnah terhadap calon PAS bagi pilihanraya kecil Galas, Dr Zulkefli Mohamad, perkara yang sama juga mungkin ditujukan kepada Ku Li oleh UMNO sendiri.

"Kita tidak dapat menafikannya kerana sebelum ini kita melihat serangan Umno-BN terhadap Ku Li memang serius, dan Ku Li pula hanya diangkat, dipuja, dan disanjung semasa pilihanraya kecil ini, jadi usaha Umno-BN mengambil Ku Li sebagai pengarah pilihanraya sebenarnya usaha untuk memerangkap Ku Li," katanya kepada TV Selangor

Walau Sesiapa Pun Memerintah, Hak-Hak Orang Melayu Tetap Terjamin Di Bawah Perlembagaan


Najib Akui Tuduhan Terhadap PR Karut
Ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin jelas membuktikan, tuduhan bahawa Pakatan Rakyat akan mencabar hak Melayu jika memerintah adalah karut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ucapan Najib selaku Presiden Umno itu juga menjelaskan bahawa hak-hak orang-orang Melayu terjamin di bawah perlembagaan walau siapa pun yang memerintah.

"Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Saturday, October 23, 2010

Dr Zulkefli - Ramelah Yang Dilaporkan Itu Adalah Ibunya

Dr Zul Dituduh Berkhalwat Setelah Diumun Sebagai Calon Pas


Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno - Umno Online - yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.
 
Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.
Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Friday, October 22, 2010

PM Hantar Rosmah Ke Belgium Untuk Menuntut Ilmu Bagi Memulihkan Gejala Buang Bayi

Hebatnya Rosmah Mansor
Kita sering menuding jari kepada amerika dengan menyatakan bahawa AS adalah kepala pengganas dunia. AS berlagak sebagai polis dunia dalam misi untuk mengamankan dunia. Pemimpin- pemimpin negara Malaysia juga tidak terkecuali merujuk AS sebagai polis dunia. Kini polis dunia itu telah berusaha membersihkan imej Islam dengan mengikis islamophobia.

Usaha itu telah di sahut oleh perdana menteri sendiri. Perdana menteri berusaha mengikis Islamophobia ini. Antara langkah awal perdana menteri mengikis islamophobia ini ialah, menghantar Rosmah mansor menuntut ilmu bagi memulihkan gejala sosial buang bayi ke Belgium.

Ini menunjukkan keterbukaan kerajaan Malaysia merujuk Negara bukan Islam sebagai rujukan utama. Padahal semua ummat Islam sedia maklum bahawa Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan utama.

Sabda nabi “ aku telah tinggalkan dua perkara kepada kamu, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedu-duanya iaitu kitabullah dan sunnaturrasul”. Tetapi mengapa gejala sosial sering berlaku dalam Negara kita.

Dr Zulkefli Mohamad Dipilih Sebagai Calon Pas Di Galas


Galas: Dr Zulkefli Calon Pas
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai ‘Calon Kita’ bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad,” umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Thursday, October 21, 2010

Bangunan Umno Kota Bharu, Kini Hak Milik Pemuda Pas Kelantan

'Tawan' bangunan Umno Simbolik Tawan Putrajaya
Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.

Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.

“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya.-harakahdailynet

Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Di Galas, Ribuan Hadir Termasuk Masyarakat Cina Dan India

Pas Dahului Umno Gerak Kerja Di Galas
PAS terus mendahului Umno dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas apabila melancarkan jentera pilihan rayanya malam tadi.
Sedangkan Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua nahkoda di Galas.

Pertembungan team Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian mulai kelihatan sekarang.

Selain itu kehadiran ribuan penduduk tempatan pula memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan veteran parti itu, Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas kelihatan ramai masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Wednesday, October 20, 2010

PKR Perlu Bentuk Masa Depan Politik Yang Lebih Baik Untuk Masa Depan Negara

Memperkukuhkan Keadilan
PKR tidak patut menurunkan darjat parti itu menjadi sebuah parti yang hanya memperjuangkan keadilan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia tidak adil bagi rakyat yang ingin diwakili, kata calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

"Kita bukan sahaja sebuah parti 'Reformasi', sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990-an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut reformasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri. 

"Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan," kata Zaid (kiri).

Katanya, PKR harus menguntungkan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan bukannya menjadi satu "hambatan".

"Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita," kata Zaid di blognya Zaid Untuk Rakyat {di sini}

Masyarakat Orang Asal Menyokong Calon PAS Di PRK Galas

Orang Asal Sokong Calon Pakatan Rakyat Di Galas
Masyarakat Orang Asal dijangka memberi sokongan penuh kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar berhubung kedudukan pribumi Orang Asal di dalam Perlembagaan pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asal, Simpan Suda berkata masyarakat Orang Asal akan turun ke Galas bagi membantu kempen Pakatan Rakyat dan seterusnya mengekalkan kerusi tersebut ditangan PAS.

"Ya, kami semua akan turun ke Galas dan sokong penuh jika Pas letakkan calon Orang Asli sebagai wakil Galas nanti.

"Walaupun mengharapkan agar wakil kami dicalonkan supaya suara kami dapat didengari, kami tetap menghormati keputusan kerajaan negeri atau PAS jika mahu meletakkan sendiri calon lain," katanya.

Sebelum ini Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar berkaitan kedudukan pribumi Orang Asal sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 serta memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa mereka sebagai Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas (gambar) berkata beliau kesal dengan keputusan tersebut yang sekaligus menafikan hak Orang Asal di negara ini.

"Kita merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan proses rayuan memakan masa terlalu lama.

Sepatutnya RM5 Billion Disalurkan Kepada Keluarga Miskin

100 Tingkat Beza Dengan 100 Keluarga

Najib dengan angkuh mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga - keluarga miskin yang berada di negeri - negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri - negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam - macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga - keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan lain - lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Kini Bangunan Umno Kelantan Milik PAS

Bangunan Umno  kini milik Pemuda Pas Kelantan
PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.
Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.
Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.
Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Tuesday, October 19, 2010

Umno-BN Terlalu Sekular Dengan Perkauman Yang Sempit

Umno Didakwa Pinggir Roh Agama Dalam Pemerintahan
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlalu sekular dan berorientasikan semangat perkauman yang sempit.

Nik Abdul Aziz mendakwa, akibat meminggirkan roh agama dalam pentadbiran menyebabkan berlakunya penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat.

“Pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Islam. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyekat kebebasan bersuara kepada pembangkang dengan tidak memberikan permit (berceramah),” katanya pada forum anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang diadakan di Taman Universiti, di sini, semalam.

Gara-Gara PRK Galas, Papan Iklan Projek Di Manek Urai Didirikan Serta Merta. Segala-galanya Donggeng Politik Untuk Menarik Perhatian Pengundi Di Galas

Janji Di Manek Urai Belum Selesai- M Faqih

PENDUDUK di kampung Manek Urai hairan tiba-tiba dua papan iklan projek Barisan Nasional (BN) didirikan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Manek Urai Lama.
Pada awalnya hanya di sebelah kampung baru dipasang papan tanda projek tertera gambar dacing. Tidak lama kemudian dipasang pula papan projek BN di Kampung Manek Urai Lama.

Namun papan tanda yang didirikan di Kampung Manek Urai Lama tidak tertera nama kontraktor, sedangkan di kampung baru ada nama kontraktor iaitu Salabumi (M) Sdn Bhd.

Kata orang kampung mengapa seperti tergesa-gesa sangat sehingga ada kepincangan di sana-sini. Lebih mengelikan lagi apabila rumah kontena pula diangkut ke tanah milik penduduk tidak jauh dari jambatan sedia ada Sabtu lepas.

Kemungkinan besar pemilik tanah tersebut pun belum dimaklumkan mengenai penggunaan tanahnya dijadikan tapak pejabat kontraktor

Monday, October 18, 2010

Mungkinkah Ku Li Tidak Sehebat Dulu?

PRK Galas: Adakah Ku Li Berbisa?
Usaha mendapatkan Kelantan daripada PAS adalah usaha yang berterusan. PAS mengalami sedikit kepincangan dalam pilihan raya kecil Manek Urai atas beberapa sebab dan satu sebab yang besar juga adalah krisis dalaman kepimpinan utama PAS. Akibat krisis Jentara Pilihan Raya PAS Kelantan tidak terfokus dan keliru terutama mengatur gerak kerja penceramah termasuk kepimpinan utama PAS.

Serangan peribadi ke atas Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga merupakan kesinambungan usaha-usaha UMNO dalam menjatuhkan PAS dengan "menumbuk umbi PAS" (Tok Guru Nik Abdul Aziz).

Pendededahan demi pendedahan kepincangan PAS Kelantan dengan bantuan seorang blogger yang agak mahir dalam perang saraf, iaitukickdefella banyak membantu serangan ini dan secara tidak langsung ada maklumat yang disebarkan telah 'termakan'.

Masih membantu kekuatan PAS di Kelentan ialah batang tubuh Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Serang secara peribadi, keluarga dan menantu cukup memberikan kesan mendalami berketetapan jika anda mememahami hadis nabi tentang finah dan pembukaan aib yang saya tak akan huraikan faktor dan sebabnya yang berkaitan rapat dengan krisis kepimpinan dalam PAS.

UMNO tak mampu menjatuhkan PAS kerana tidak ada individu boleh mengantikan Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar. UMNO sendiri juga mengalami krisis dalaman di Kelantan yang berlanjutan sekian lama.

Tidak Ada yang Mati Tukar Kerajaan BN Kepada Pakatan Rakyat

Tukar Kerajaan : Peneroka Jangan Takut Ugutan
Rakyat di negara ini khususnya masyarakat luar bandar berhak memilih pemimpin yang terbaik dan tidak perlu takut dengan sebarang ugutan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata (gambar), proses pilihanraya membenarkan rakyat berbuat demikian bagi memilih kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab dan mampu membela rakyat.

"Jangan takut untuk menukar kerajaan. Orang Pulau Pinang tak ada yang mati hanya kerana tukar kerajaan daripada BN kepada Pakatan Rakyat (PR). Tak ada orang Selangor yang tak cukup vitamin kerana tukar kerajaan. Jangan rungsing jangan resah untuk tukar kerajaan. Jangan terpengaruh dengan ugutan pemimpin Umno. Rakyat ada hak untuk memilih," katanya ketika berucap di Felda Jengka 20, dekat sini, malam tadi.

Beliau menggesa demikian agar masyarakat luar bandar termasuk peneroka, berani membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Najib Tidak Ikhlas Dengan Gagasan 1 malaysia, Dalam masa yang sama meniupkan Api Perkauman


Najib Amal Politik Perkauman, Adu Domba
Gagasan 1Malaysia yang diperkenal Datuk Seri Najib Razak terbukti hanya retorik apabila Perdana Menteri itu masih mengamalkan politik perkauman dan adu domba.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar(gambar)berkata, jika benar Najib ikhlas dengan gagasan 1Malaysianya, sudah tentu beliau tidak menyalakan api perkauman dengan cuba menuduh Pakatan Rakyat mempersoal perlembagaan.
"Saya rasa Najib ketinggalan dan tidak mengikuti poilitik semasa. Pakatan Rakyat telah buat resolusi bahawa kita akan sokong malah akan pertahankan Perlembagaan Negara termasuk Perkara 153," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Sunday, October 17, 2010

Kezaliman Umno-BN Terbukti Apabila Surau Dan Pasti Dirobohkan

Sekolah mengandung lebih penting dari surau - Ali 


Ketam



                                DEMO BANTAH ROBOH SURAU PASTI 500
                                 serta demo bantah roboh surau

 Bukit Katil, Melaka - Demonstrasi aman anjuran badan bertindak Perobohan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti)  dan Surau Bukit Katil semalam berjaya memberikan gambaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat menolak kezaliman dan penindasan. Mereka bukannya menolak pembangunan tetapi pembangunan itu mestilah memberikan manfaat serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat. Tindakan kerajaan BN Melaka yang dilihat sengaja mengambil tapak Pasti dan surau untuk dibuat jalan menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Bukit Katil kerana bagi mereka kerajaan boleh mengambil tanah kosong yang ada di kawasan lain untuk dibuat jalan. Malah tindakan itu juga disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Demonstrasi semalam dikatakan berjaya kerana berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang penduduk setempat dan kawasan sekitarnya termasuk tuan-tuan tanah yang terlibat. Demo yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil petang tadi telah diganggu oleh pihak polis selepas hanya kira-kira lima minit dimulakan. Polis meminta pihak penganjur menghentikan program tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit. Dalam ucapan ringkas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah kepada Pasti dan surau tersebut. "Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

"Di Mana Video Testimoni Rahimi Yang Saya Serahkan Kepada Peguam Anwar?" - RPK

Sepertimana yang saya telah beritahu Anwar minggu lalu apabila berlaku pertikaian antara kami apabila saya terlalu lantang bersuara, anda sepatutnya gembira kerana saya masih bersuara. Itu bererti saya masih mengambil berat. Bila saya berdiam diri kamu sepatutnya patut berasa bimbang. Itu bererti saya sudah tidak peduli lagi.

Raja Petra Kamarudin

Pada Jun 2008, apabila isu Liwat 2 ini meletus, saya telah pergi ke Quality Hotel di Shah Alam untuk bertemu Anwar Ibrahim dan peguam-peguamnya. Lobi hotel penuh dengan wartawan-wartawan yang dianggarkan lebih kurang 50 atau lebih, pemberita ini boleh mengesahkan pertemuan ini.

Wartawan-wartawan mula meluru ke arah saya apabila mereka melihat saya dan isteri masuk ke dalam hotel. Dengan silauan flash kamera-kamera, perakam video dan mikrofon telah ditolak dihadapan muka saya. Mereka semua mahu tahu apa tujuan saya berada di situ dan adakah ia ada kaitan dengan isu liwat ini.

Saya hanya tersenyum dan tidak menjawab banyak soalan. Saya kemudiannya naik ke tingkat atas bertemu Anwar dan peguam-peguamnya. Peguam-peguam mereka memberi saya sebuah fail tebal dengan pelbagai dokumen dan testimoni-testimoni.

Lebih kurang satu jam kemudian saya turun ke bawah dan kumpulan pemberita yang ramai itu masih di sana. Bila mereka melihat saya dan isteri keluar daripada lif, wartawan-wartawan sekali lagi tergesa-gesa ke arah saya dan mengerumuni saya. Mereka semua mahu tahu apa yang sedang berlaku di tingkat atas.

Saturday, October 16, 2010

Umno-BN Semakin Zalim Dan Korup

Kulaijaya: BN Di Ambang Kejatuhan
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali (gambar)berkata hari-hari terakhir bagi sesebuah pemerintahan atau kerajaan menjadi sangat nyata apabila ia semakin zalim dan korup.

Kata beliau keadaan yang sama amat relevan dengan Umno-Barisan Nasional di Malaysia di mana negeri Johor yang di anggap sebagai benteng kuat Umno tidak lagi terkecuali.

"Beberapa hari yang lalu, suasana perayaan Aidilfitri anjuran KEADILAN Negeri Johor yang pada mulanya meriah dan berjalan lancar telah menjadi ribut apabila sepasukan polis tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah persendirian di Kampung Air Manis, Kulaijaya tempat jamuan hariraya itu diadakan.

"Pada malam Sabtu 8 Oktober itu, kira-kira 40 orang anggota polis yang diarah sendiri oleh Ketua Polis Daerah, DSP Zulkefly merampas mikrofon daripada Pengerusi KEADILAN Negeri, Datuk Chua Jui Meng ketika beliau sedang berucap. Selepas itu, mereka merampas pula peralatan siaraya yang lain termasuk dua keping banner di situ.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...