Saturday, July 31, 2010

Anwar - Kerajaan Pusat Tidak Perlu Melindungi Orang-orang Besar Yang Terlibat Dalam Skandal PKRZ

Isu PKRZ, Anwar Mahu Jemaah Menteri Disiasat

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak melindungi mana-mana orang kenamaan yang terbabit dan bersubahat dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.
Anwar berkata pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bagaimanapun mengundang syak adanya usaha terancang untuk memperdaya dan menyelinap berbilion ringgit wang pembayar cukai.
Hujan lebat di kubu kuat bekas Menteri Datuk Seri Rafidah Aziz malam tadi tidak sedikit pun menghalang penduduk untuk bersama mendengar ceramah pemimpin reformasi ini. Kira-kira 1000 warga Kuala Kangsar membanjiri Markas Pas Bukit Chandan untuk mendengar perkembangan skandal PKFZ.

Lim Liong Sik Menipu, Kenapa Menteri Yang Ditipu Masih Kekal Dalam Kabinet

Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.

Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Friday, July 30, 2010

Kempen "Selamatkan Selangor" Hanya Untuk Kembalikan Kuasa Politik Umno-BN


Pakatan Rakyat sebenarnya yang menyelamatkan Selangor dari cengkaman pemerintahan Umno Barisan Nasional yang tidak mengutamakan kebajikan rakyat, sebaliknya mendahulukan kepentingan kroni.

Demikian kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid apabila merujuk kepada kempen Selamatkan Selangor yang dicanang pimpinan Umno BN selepas kehilangan kuasa pada pilihan raya umum lalu.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau turut mengecam kempen itu yang disifatkannya tidak ada motif jelas, selain cuba mengembalikan kuasa yang hilang dan sukar digenggam semula.

Kempen Selamatkan Selangor sedang rancak berlangsung di sekitar negeri ini dengan menyediakan 19 tapak ceramah di beberapa daerah utama.

Mengikut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, mereka kononnya mahu mendedahkan kelemahan Pakatan Rakyat dan menyelamatkan penduduk Selangor.

Alasan kempen yang disogok kepada media kawalan mereka, pantas diselar Abdullah Sani.

“Selamatkan dari apa? Selamatkan dari yang buruk kepada yang baik, itu sudah kita lakukan. Daripada yang baik kepada terbaik, itu juga akan kita laksanakan,” tegas Abdullah Sani.

Beliau turut mencabar Umno BN supaya membuktikan Pakatan Rakyat ada melakukan penyelewengan dan pembohongan tanpa bersandar kepada agensi kerajaan tertentu.

“Kalau daripada penyelewengan, buktikan kita buat penyelewengan. Kalau berlaku korupsi sesama kepimpinan, buktikan kepada umum dan hukum mengikut undang-undang. Setakat ini tak ada,” katanya.

Abdullah Sani juga menganggap kempen Selamatkan Selangor itu menunjukkan hayat Umno semakin sampai ke penghujung.

Umno dianggap Abdullah, sedang tercari-cari kaedah atau idea baru bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sedangkan ketandusan idea dalam membawa pembaharuan kepada rakyat.

“Umno mencari-cari mana pendekatan yang harus dibuat untuk rakyat dan baru-baru ini dilancarkan satu biasiswa untuk orang anak-anak orang kurang upaya dan keluarga mereka. Dulu kenapa tak dibuat?” bidas beliau./TVS

Thursday, July 29, 2010

Masihkah Anda Ingat Dengan Nama Janna Syariza Mohd Zaki?

Setelah Janna Syariza Gugur, Farah Azlina Juga Gugur?

Masihkah anda ingat lagi dengan nama Janna Syariza Mohd Zaki? Nama yang sebelum ini meletup kerana menyimpan salah satu bahan bukti terhadap kes mahkamah yang sedang berlangsung di Jalan Duta.
Janna Syariza ialah tunangannya Saiful Bukhari Azlan, dan bahan bukti yang pernah disimpannya ialah seluar dalam tunangnya yang berjenama Levis berwarna biru tua. Ironinya seluar dalam tersebut, merupakan seluar dalam yang digunapakai oleh Saiful Bukhari sejurus sebelum dara duburnya dirobek.
Mengapa bahan bukti tersebut berada dalam mesin basuh di rumah Janna tidak di rumah Saiful bukanlah perkara yang ingin dipersoalkan.
Status pertunangan antara Saiful dan Janna juga tidak akan diperkatakan di sini samada masih lagi dijalin atau sudah gugur talak tayapawaunya.
Terdapat juga khabar angin bahawa hubungan tunang ini telah terputus dek kerana Saiful tidak mahu bertanggungjawab di atas kandungan yang terhasil sebelum ikatan perkahwinan, dan terdapat juga khabar angin yang bertiup kencang menyatakan Saiful mahukan kandungan tersebut digugurkan dan akhirnya menyebabkan hubungan tunang itu terputus di tengah jalan.
Namun khabar angin tetap berstatus khabar angin selagi ia tidak dibuktikan sahih. Politik persepsi begitu kejam untuk diharungi walaupun khabar angin tidak mungkin dijadikan asas bukti atau saksi. Maka saya menganggap hubungan tunang di antara Janna dan Saiful masih terjalin.

Wednesday, July 28, 2010

Permit "Suara Keadilan" Dan "Rocket" Digantung Kerana Umno-BN takut Maklumat Tepat Sampai Kepada Rakyat

Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Rocket dilihat sebagai kebimbangan kritikal Umno BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan akhir-akhir ini.

Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata, jika Umno BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

“Tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.

Tuesday, July 27, 2010

Umno-BN Masih Lagi Mengamalkan Cerita Politik Lama



Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali (gambar) menegaskan, rakyat negeri ini sudah muak dengan cerita politik lama Umno BN sebaliknya mereka ingin mengetahui bagaimana cerita politik baharu Pakatan Rakyat.
Menurutnya, rakyat tidak mahu lagi mendengar cerita lama Umno BN yang penuh dengan rasuah, salah kuasa dan skandal sebab itu majlis penerangan Umno kelihatan muram sahaja meskipun membariskan enam pemimpin mereka dalam satu ceramah.
Dr Hasan berkata demikian ketika berucap merasmikan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Muktamar PAS ke-56, yang diadakan di Wisma MBSA pagi tadi dengan pembentangan kertas bertajuk Islam Adil Untuk Semua oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Monday, July 26, 2010

Nik Aziz -Umno-BN Jangan Bermimpi Nak Gigit Tangan Pas Kali Kedua


PAS tidak memerlukan peranan orang tengah jikapun parti Islam itu mahu mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai soal penyatuan Melayu, kata Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.
Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan ini terus dengan pendirian yang telah dicapai parti itu pada muktamar-muktamar tahunan mereka sejak 2008 bahawa PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno agar “tangan PAS tidak digigit kali kedua.”
PAS mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan PKR, kata beliau.
“Ada orang hendak menjadi orang tengah, mimpi... kalau saya (PAS) mahu, saya boleh jumpa Perdana Menteri, tak perlu (orang tengah),” kata beliau pada majlis ceramah isu-isu semasa anjuran PAS Kuala Terengganu di sini.

Sunday, July 25, 2010

'Orang Tengah' Yang Ketinggalan Zaman - Abd Shukor Harun

Siappapun atau golongan manapun yang mendakwa diri mereka sebagai ‘orang tengah’ atau mencuba menjadi ‘orang tengah’ konon untuk berusaha mengadakan pertemuan atau hubungan antara PAS dan Umno, sudah tentu sama sekali tidak diiktiraf oleh arus perdana di dalam PAS. 

Bahkan kepimpinan PAS sendiri telah berkali-kali mempertegaskan bahawa PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno, sebuah parti yang sangat berbeza mengenai dasar dan pendekatannya. 

Ini telah diketahui umum dan telah ditegaskan banyak kali oleh pihak PAS, namun perbezaan dasar antara PAS dan Umno ini cuba dipandang sepi atau tidak diberi perhatian oleh pihak yang berhempas pulas untuk menemukan kedua parti tersebut.

Malah pihak yang dikatakan hendak menjadi ‘orang tengah’ ini sendiri tidak berminat untuk melihat perbezaan dasar itu. Yang dihujahkan berkali-kali oleh pihak ini ialah bahawa kerjasama PAS-Umno ini ialah untuk kepentingan Melayu/Islam. Sementara pemimpin PAS berulang kali menegaskan bahawa dengan Islam saja, Melayu akan menjadi kuat di samping kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Saturday, July 24, 2010

Ketua AMK Shamsul Iskandar - Ezam Kotak Seharusnya Buktikan Beliau Bukan Kuda Tunggangan Umno

Angkatan Muda Keadilan menggesa Senator Ezam Mohd Noor supaya menggerakkan kempen terhadap Presiden Umno Najib Abdul Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi.
Senator Umno itu disaran mendesak satu siasatan telus, terbuka dan terperinci dijalankan menyiasat isu pemberian komisyen RM520 juta kapal selam Scorpene, pemberian lesen judi sukan kepada hartawan Vincent Tan, serta skandal membabitkan wanita warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.
Jika tidak, kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin,(gambar) maka Ezam Mohd Noor membuktikan bahawa beliau kini tidak lebih dari kuda tunggangan cita-cita Umno merampas Selangor.

Friday, July 23, 2010

Umno Perlu Diganti Dengan Parti Politik Lain

Kekecewaan orang Melayu terhadap Umno sudahpun diketahui umum, sebab itu perlu ada politik baru di kalangan Melayu yang tidak rela membiarkan kepimpinan ini terus merosakkan bangsa dan negara."

Demikian maklum balas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) petang tadi, mengulas rancangan 'Perpaduan Melayu' yang dipopularkan oleh beberapa pemimpin Umno belakangan ini.

Menurut beliau, budaya berpolitik yang diamalkan oleh Umno telahpun tergelincir dari landasan kebudayaan Melayu yang sebenar.

Katanya, perbincangan itu sudah tergelincir dari landasan yang sebenar kerana lebih untuk mempertahankan kepimpinan pemimpin dan parti politik tertentu walaupun mereka diketahui umum mengamalkan rasuah, pecah amanah, tidak menghayati keharmonian kaum dan tutup ruang demokrasi.

Thursday, July 22, 2010

Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

Wednesday, July 21, 2010

PAS Tidak Akan Terkena Perangkap Umno Kali Kedua.


Politik terdesak Umno yang kini dipamerkan oleh parti itu adalah disebabkan buat kali kedua ia telah gagal untuk memancing PAS untuk menyertainya dalam kerangka kerajaan perpaduan atau dikenali dengan UG (unity government).
Tindakan Umno untuk mencapai cita-citanya itu telah menyebabkan pertikaian dan konflik antara pimpinan tertinggi PAS pada satu ketika dahulu.
Motif Umno adalah untuk mewujudkan rasa tidak percaya pengundi Cina dan India terhadap PAS. 
Bagaimanapun, rencana Umno ini tidak berjaya sama sekali dan sebaliknya semakin hari PAS bertambah kuat dan kukuh walaupun diasak dengan propoganda dan serangan Umno.
Cubaan terbaru Umno adalah dengan menggunakan pihak ketiga  untuk  meyakinkan PAS bekerjasama di segi politik dengan parti itu. Umno dilihat telah membuat kesilapan besar dengan beranggapan bahawa pendirian PAS sama dengan Umno dalam konteks prinsip, dasar, ideologi, dan pendekatan.

Tuesday, July 20, 2010

PAS - Kenyataan Harussani Tentang Perpaduan Melayu Adalah Fitnah


Oleh G. Manimaran


PAS mengulangi pendirian hanya akan bersama Pakatan Rakyat sambil menyifatkan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bahawa wakil parti Islam itu ada menemuinya untuk meminta menjadi orang tengah sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Tan Sri Harussani (kelmarin) satu fitnah dan pembohongan,” kata Salahuddin pada sidang media di sini hari ini.

Pendirian itu disokong oleh Mahfuz dengan menegaskan, PAS tidak pernah membincangkan isu berkenaan sama sekali.

Harussani Sebagai Mufti Kena Rujuk Quran, Hadis, Ijmak Dan Qias

Idris Ahmad
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara Pas dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.

Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus.

Sepatutya Tan Sri kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS.

Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Monday, July 19, 2010

Tanpa Umno, Melayu Tetap Berkuasa

PAS Selangor menegaskan pendiriannya menolak sebarang pertemuan Umno-PAS sambil memberi jaminan kuasa Melayu tidak akan hilang jikapun Umno diketepikan dalam pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu PAS Selangor pimpinan Datuk Dr Hasan Ali (gambar) berkata, parti itu dan PKR berupaya untuk memastikan kuasa akan kekal di tangan orang Melayu menerusi kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu, yang lebih jujur dan adil.

“Orang Melayu tidak akan hilang kuasa kalau pun Umno sudah tidak lagi memerintah negara ini,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Harussani Sudah Menjadi Perjuangan Umno Yang Sesat



 Sekarang sudah terang lagi bersuluh, penghujung hayat seorang mufti yang dahulunya terkenal dengan pelbagai isu seperti murtad, sudah sangat bercelaru dan kabur.
Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan Tan Sri Harussani Zakaria sudah menjadi pejuang assobiah dan mempertahankan perjuangan Umno yang ‘sesat’.
“Saya sangat terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.
“Nampaknya dia semakin bercelaru dan semakin menampakkan usia senjanya yang kurang jelas ke mana halatujunya sebenar,” ujar Khalil di dalam blognya.
Harussani sebagai dipetik dalam Malaysiakini: "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh, kelmarin.
Menurut Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS negeri, satu perkara yang mengejutkan apabila Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangannya berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.
“Siapa pula yang dimaksudkan oleh Harussani terutamanya dari PAS. Saya kira satu kenyataan yang bahaya dan perlu dibuktikan oleh beliau, bukannya main lepas cakap. Ataupun perbualan biasa dengan orang yang didakwa PAS oleh beliau dan dia mahu memutar belit fakta untuk sekian kalinya,” katanya lagi.
Katanya, Harussani mendakwa beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.
Persoalannya, kata Khalil kita hendaklah kembali kepada perkara asal yang menjadi polemik antara beliau dengan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang jelas menunjukkan Harussani berbohong dan memutar belit fakta yang sebenar.
Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, kalau mufti itu berani dan sudah kecewa, bolehlah dia berkata dan menyokong kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang mengatakan PAS adalah parti ajaran sesat.
“Sesudah itu buatkan kempen besar-besaran untuk menarik orang Melayu termasuk orang PAS untuk meninggalkan parti sesat seperti kata Shafie,” ujarnya sinis./harakahdailynet

Sunday, July 18, 2010

DSAI egen Yahuid,agen Amerika, gila kuasa tapi akhirnya harga minyak yang naik..

    oleh- notan

"Assalamualaikum..,,
Sejak 1998 atau mungkin lebih awal, DSAI di war warkan sebagai agen yahudi, agen Amerika dan seorang yang gila kuasa sehingga sanggup membuat fitnah yang mengakibatkan kebencian orang orang cina dan india kepada melayu( yang disebut sebagai orang Islam).

Gambaran kepada semua yang diberikan kepada DSAI memperlihatkan seolah olah negara berada dalam huru hara dan rakyat berada dalam suasana tertekan akibat perbuatan DSAI.

Tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak langsung menunjukkan akibat perbuatan DSAI.Terbaru, rakyat menerima tekanan lagi dek penangan saman ekor yang pernah diakui oleh kerajaan tidak akan diblacklistkan dan kenaikan mendadak dan menakutkan minyak serta gula di mana selepas ini bakal disusuli dengan kenaikan harga pengguna yang cukup untuk memberi bebanan yang berat kepada rakyat.Sementara momokan agen yahyudi, Amerika dan gila kuasa yang diberikan kepada DSAI tidak menampakkan sebarang kesan kepada rakyat selain dari bukti bukti penindasan kerajaan UMNO kepada DSAI secara individu menerusi kes liwat yang dilalui oleh DSAI.

Namun apabila ada yang cuba mempertahankan kebenaran kepada tuduhan terhadap DSAI , ada pula yang tampil mendakwa orang yang mempertahankan kebenaran itu sebagai taksub kepada individu yang bernama DSAI.Sebenarnya pembelaan kepada DSAI bukan sekadar suka suka atau bukan juga kerana amat teruja kepada DSAI tetapi dasar pembelaan adalah kebenaran dan kebenaran ini bukan dibuat atau sengaja direka semata mata kerana taksub kepada DSAI, Sejak tahun 1998 lagi bukti bukti kebenaran sudah didedahkan dan bagi orang orang yang berakal dan berfikir semua yang didedahkan ini diakui sebagai kebenaran yang perlu dipertahankan.

Tidak cukup menuduh DSAI sebagai agen yahudi semata mata kerana DSAI kenal dengan beberapa tokoh yahudi yang konstraversial dan tidak cukup menuduh DSAI sebagai agen Amerika semata mata kerana hubungan baik DSAI dengan bekas naib presiden Amerika.Bukti bukti yang lebih konkrit harus didedahkan sebagaimana RPK mendedahkan bukti bukti pembunuhan Altantuya, sebelum DSAI boleh dilebelkan sebagai agen yahudi dan Amerika.Perkara ini sudah lama dijustifikasikan oleh DSAI tetapi bagi setengah orang justifikasi dari DSAI tidak diterima sebaliknya lapuran lapuran dari media perdana dan blog pro UMNO terus dijadikan sandaran kepada dakwaan DSAI sebagai agen yahudi dan Amerika.

Apabila diminta untuk memperincikan tindak tanduk DSAI yang mungkin tidak dilapurkan di mana mana, muncullah tuduhan taksub kepada DSAI walaupun berkali kali ditegaskan bahawa permintaan ini adalah atas dasar kebenaran yang menjadi asas kepada perjuangan yang Islamik.Akhirnya DSAI terus dituduh sedemikian rupa malah ditokok tambah sebagai membuat fitnah sedangkan fitnah yang didakwa dibuat oleh DSAI itu mempunyai asas dan bukti yang jelas sehingga ada diantara buktinya disebut di parlimen.

Kesan kepada fitnah DSAI ini pula kini ditanggung oleh rakyat.Seorang yang gila kuasa dan pernah berjanji untuk menurunkan harga minyak serta menyediakan pasarana perubatan kepada rakyat tidak menyebabkan apa apa kesusahan kepada rakyat sebaliknya orang yang menjadi dalang kepada semua tuduhan sudah dan sedang menyiksa rakyat.Apa lagi yang mahu disebar dan disedarkan sedangkan yang menanggung akibat ialah rakyat?/tranungkite

Saturday, July 17, 2010

Agen Asing - Anwar Akan Hadapi Serangan Yang Lebih Dasyat Dan Akan menjerut Leher Anwar.


Populariti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal memaksa beliau menghadapi pelbagai cabaran yang lebih dahsyat, termasuk ancaman bunuh.
Bagi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pemimpin tertentu Umno sanggup berbuat demikian memandangkan mereka sejak 12 tahun yang lalu beberapa kali sanggup memfitnah Anwar sebagai agen asing.
"Saya tidak fikir Umno akan berhenti selepas 12 tahun menyerang Anwar, saya yakin pelbagai serangan yang lebih dasyat lagi mungkin akan menjerut leher Anwar.
"Ada satu perkara hujung pada itu yang Umno masih tidak buat, dia belum tamatkan riwayat Anwar saja," ujar beliau petang tadi pada satu wawancara di lobi Parlimen.
Sebelum pada itu, beliau berkata, Anwar pernah difitnah sebagai agen Libya sewaktu menjadi pemimpin mahasiswa kerana usahanya meniupkan ledakan kesedaran Islam mendapat perhatian dunia, termasuk Libya.
Katanya lagi, Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah difitnah sebagai pengkhianat serta mengamalkan homoseksual dengan beberapa individu.
Bertitik tolak pada sangkaan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Anwar akhirnya terpenjara enam tahun.
Selepas dibebaskan, beliau berkata, Anwar difitnah lagi sebagai ejen Yahudi pula kerana beberapa peribadi tertentu yang berbangsa Yahudi berminat dengan usaha Anwar menentang rasuah dan meniupkan reformasi dalam negara.
Menuduh Anwar sebagai 'ejen Israel' baru-baru ini, tambahnya lagi sudah cukup lengkap untuk pihak tertentu membunuh Anwar sebagaimana yang pernah terjadi di beberapa negara umat Islam sedunia.
Dalam pada itu, beliau mempersoal keuntungan yang Umno nikmati dengan melakukan  'pembunuhan karektor' ke atas Anwar.
"12 tahun dia dan PKR menjadi beg tinju Anwar, apakah Umno tidak belajar itu semua," soal beliau dalam nada yang kesal.
Menurut beliau, 'pembunuhan karektor' yang menimpa Anwar itu kadang-kadang menguntungkan Ketua Umum PKR itu serta Pakatan Rakyat sendiri.
"Serangan yang bertali arus ini adakah memberi kesan pada Anwar, saya fikir tidak," tegas beliau sambil menyuarakan rasa yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Dari segi lain, dakwanya lagi, Umno seakan masih menghantui pemimpin tertentu dalam kerajaan menjelang pilihan raya umum depan.
"Di sebalik mereka (kerajaan) telah fitnah dia, mereka telah penjara dia, tahan dia (di bawah ISA), dan sekarang ini dituduh pula agen CIA-Yahudi, nampaknya Anwar ini masih menakutkan beberapa pemimpin Umno.
"Mereka bimbang dan panik dengan populariti yang ada pada Anwar," ujar beliau lagi.
Pun begitu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tidak terpengaruh oleh dakyah-dakyah tidak beretika yang dicipta oleh Umno.
Ini kerana, beliau berkata, rakyat kian rasional dan tidak boleh menerima dakwaan tanpa asas seperti yang ditiupkan Umno dalam media-media arus perdana belakangan ini.
"Untuk menjadi seorang  'ejen asing', seseorang itu dilatih tidak kurang 10 tahun, tetapi Anwar lebih hebat kerana lepas 'tapisan keselamatan', dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pernah memangku jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri).
"Mustahil satu watak ini boleh menjadi pelbagai ejen beberapa negara asing," kata beliau sambil menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada satu temuramah lain, tidak menolak kemungkinan bahawa Umno bakal mengaitkan Anwar dengan kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu kelak.
"Tak lama lagi, Anwar mungkin akan dituduh agen Mongolia atau pernah jadi tukang gaji Altantuya, ini kerana sebelum ini pun terlalu banyak dakwaan Umno menggelikan hati saya," beliau berseloroh di lobi Parlimen.
Ini kerana, beliau berkata, kabinet Najib terpaksa berbuat demikian demi mengalih tumpuan rakyat dari terus mengikuti perbicaraan kes kapal selam Scorpene yang kini sedang memberi keterangan di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture, Perancis, semalam.
"Polis Perancis yang sebut nama Najib, nama Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri) waktu siasat Bala, saksi utama skandal Scorpene, saksi utama kes bunuh gadis Mongolia," beliau menambah sambil tidak menolak kemungkinan yang dibangkitkan oleh Saifuddin sebelum ini./harakahdailynet

+Semoga tuhan sentiasa melindungi saudaraku Anwar yang berjuang berlandaskan kebenaran dan keadilan. Manusia cuma merancang .. yang menentukan tuhan. Tuhan maha mengentahui segala-galanya.


Umno Kini Dalam Keadaan Lemah Dan Sentiasa Sibuk Minta Pertolongan PAS

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.
 “Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS.  Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.
 “PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.
Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS,  beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.
Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.
 “Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.
“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali.  Ini kerana barang yang sudah pun selesai.  Sepuluh tahun lalu, dah selesai.
“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.
Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.
 Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.
 “Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga. 
 “Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.
“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka.  Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.


harakahdailynet

Friday, July 16, 2010

Pendakwaraya Perancis Berjanji Tegakkan Keadilan Untuk Altantuya, Bongkar Skandal Scorpene Habisan


 Dzulkarnain Taib
SHAH ALAM 15 Julai - Roh Altantuya Shaariibuu mungkin kembali tenang apabila pihak pendakwaraya Perancis yang menyoalsiasat bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam di Paris semalam berjanji akan menegakkan keadilan bagi model Mongolia yang mati dibunuh secara kejam pada 2006 itu.
Pihak pendakwaraya Perancis juga berikrar akan membongkar habisan semua dakwaan penyelewengan dan rasuah dalam urus niaga pembelian kapal selam Scorpene yang dibeli kerajaan Malaysia 
Dalam emel yang dihantar kepada Suara Keadilan malam tadi  melalui peguam  Americk Sidhu, Bala berkata beliau telah memberi keterangan kepada pihak polis dan peguam Perancis berhubung skandal rasuah Scorpene serta mendedahkan hubung kait Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda serta model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam urus niaga pembelian dua kapal selam buatan syarikat konglomerat DCN milik kerajaan Perancis.
Bala disoalsiasat berseorangan selama tiga jam bermula pukul 2.00 petang waktu Paris bertempat di Direction Centrale de la Police Judiciare DNIF, Nanterre, Paris  oleh penyiasat Perancis, M Ryckewaert. Peguam Manjeet Singh tidak dibenarkan bersama Bala ketika anak guamnya ditemubual pendakwaraya Perancis.
Bala memberitahu Suara Keadilan melalui emel malam tadi pihak pendakwaraya Perancis amat berminat untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai hubungan beliau dengan Altantuya dan Abdul Razak.
"Saya telah menerangkan segala butiran mengenai pembunuhan Altantuya. Saya merujuk mereka kepada akuan bersumpah saya yang pertama dan juga temubual saya di Singapura. Saya juga menerangkan kepada mereka identiti dua anggota polis dan siapa pegawai atasan mereka yang berkait dengan kehilangan Altantuya serta apa hubungan mereka dengan Abdul Razak dan Najib.
"Peguam Perancis juga menyelidiki hubungan Abdul Razak dengan Najib serta maklumat yang diberikan kepada saya oleh Abdul Razak bagaimana Najib telah menghantar SMS kepadanya ketika beliau ditabgkap, atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya," terang Bala dalam emel beliau.
Beliau juga ditanya mengenai Perimekar Sdn Bhd dari segi pemilikan syarikat dan hubungannya dengan Abdul Razak dan isterinya.
Bala juga telah menerangkan mengenai tiga pembayaran sebanyak AS$5,000 setiap satu kepada Altantuya oleh Abdul Razak termasuk bayaran denda lewat AS$1,000.
"Saya jelaskan mengenai apartmen yang dibeli oleh Abdul Razak untuk Altantuya serta bayaran AS$500,000 yang dituntut oleh beliau. Juga saya terangkan pembabitan Altantuya dalam rundingan serta pengakuan dan pengesahan Abdul Razak bahawa beliau akan membayar wang tersebut kepada Altantuya.
"Mereka bertanya kepada saya mengenai identiti dua individu warga Perancis yang terlibat dalam urusan Scorpene dan samada saya mempunyai maklumat berhubung pembayaran daripada pihak Perancis kepada Perimekar. Ini kerana maklumat yang diberitahu Altantuya kepada saya ialah pembayaran AS$500,000 kepada beliau itu adalah di atas kejayaan urus niaga Scorpene.  
"Mereka juga ingin tahu mengenai sepupu Altantuya, Amy yang mengetahui berkenaan majlis makan malam di mana Najib dan Abdul Razak hadir bersama Altantuya," jelas beliau lagi.
"Saya juga ditanya mengenai identiti dua individu bernama Major Rahim dan Abdul Rahim Saad," kata Bala lagi. 
Disamping itu Bala juga menerangkan mengenai peranan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berpakat dengan usahawan perniagaan permaidani bernama Deepak Jaikishan yang menyebabkan beliau terpaksa lari dari Malaysia.
Beliau juga memberi rentetan peristiwa dan pembabitan adik Najib, Datuk Nazim dalam akuan bersumpah kedua Bala dan bagaimana beliau diseludup keluar dari Malaysia dan diarah berada di luar negara sehingga Najib menjadi Perdana Menteri.
"Saya diminta memberi butiran mengenai apa yang berlaku di sebuah gerai di Rawang di mana Deepak, adiknya Dinesh dan ASP Suresh bertemu dengan saya.
Bala berkata beliau juga bertemu dengan peguam Perancis, Joseph Breham yang bertindak bagi pihak badan has asasi Malaysia, Suaram.- SK

Thursday, July 15, 2010

PAS sudah tolak berunding dengan Umno

Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu’alam.

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan



harakahdailynet

Wednesday, July 14, 2010

 MP Bebas 'di bawah ketiak' Umno

Mohd Rashidi Hassan




BOLEHKAH rakyat menerima wakil-wakil rakyat yang mengingkari perjuangan asal mereka, mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas sebagai sebuah institusi baru dalam politik negara?

Sejarah 50 tahun proses demokrasi di Malaysia, sokongan rakyat terhadap wakil Bebas hanyalah isu terpencil. Hanya ada dua atau tiga orang sahaja yang menang bertanding atas Bebas.

Mereka tidak boleh menjadi institusi dan tidak mampu mencorak arus politik negara kerana mereka menjadi Bebas, berdasarkan kepada sebab-sebab yang tertentu.

Tanpa ada pertikaian, sebelum ini ada calon Bebas yang menang di atas kapasiti peribadi mereka yang amat dikagumi masyarakat setempat.

Namun, wakil-wakil rakyat Bebas yang ada dalam negara sekarang ini, kebanyakannya menang atas kepercayaan rakyat terhadap parti yang diwakili, bukan atas kekuatan peribadi mereka.

Tanpa ada parti, tanpa dokongan parti, tanpa kerjasama pengundi dan penyokong parti, mereka ini hanyalah 'sampah-sampah' politik yang tiada nilainya.

Di Parlimen ada lapan orang Ahli Parlimen (MP) Bebas, iaitu Ibrahim Ali (Pasir Mas), Zahrain Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan dua lagi dari SAPP, Sabah.

Pada PRU 2008 semua mereka ini bertanding mewakili parti. Dua wakil SAPP menjadi bebas selepas SAPP keluar daripada BN. Ibrahim bertanding atas tiket PAS dan lima yang lain bertanding atas tiket KeADILan.

Hakikat sebenar yang berlaku ialah, lapan orang wakil Bebas ini tidak sehaluan sesama sendiri. Wakil SAPP tidak pernah mencampuri wakil dari Semenanjung.

Ibrahim buat caranya sendiri. Lima wakil bekas KeADILan pun tidak sekata. Hanya Zahrain dan Zulkifli sahaja yang kehadapan. Wee buat cara sendiri, manakala Mohsin dan Tee Beng jarang kelihatan bersama Zulkifli dan Zahrain.

"Mereka ini alat sahaja..'dah tak ada rotan, akar pun berguna'. Lepas habis Parlimen (penggal ke-12), mereka tidak berguna lagi," kata seorang Menteri sambil-sambil minum kopi dengan penulis.

"Kita orang pun menyampah kat depa (mereka) ni, dah la masuk kut (melalui) pintu belakang, semua jenis 'makan besar'," komen seorang MP Umno, tanpa menjelaskan lebih lanjut apa erti 'makan besar' tersebut.

Pemerhati Parlimen boleh melihat dengan jelas gelagat MP-MP bebas ini setiap kali adanya persidangan Dewan Rakyat.

Nak kata macam 'kera dapat bunga pun ada'. Nak kata macam 'kera sumbang pun ada'. Pendek kata kalau lihat gelagat mereka, nescaya kita akan terpalit dengan perasaan 'geli geleman' dan menyampah.

"Pendirian saya jelas, sebaik sahaja depa keluar KeADILan, saya tak akan peduli dengan depa. Saya tak kan layan langsung. Mampuih pi ke depa," tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar yang juga MP Pokok Sena.

"Hang tengok tu, depa tu bukan ada kerja, duk berkelintau (berlongok) depan pejabat Nazri (Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz)," kata MP PAS Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar.

Hakikatnya lima MP Bebas yang mengkhianati perjuangan KeADILan tidak henti-henti menjaja pembohongan di Parlimen.

Mereka diumpamakan oleh KeADILan, sebagai 'beruk Mat Yeh' (istilah untuk wakil rakyat lompat), yang didakwa mendapat bayaran yang agak besar untuk 'defect'.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'Konsensus Bebas', cuba menunjukkan diri mereka sebagai kononnya pejuang yang berprinsip, walaupun hakikatnya semua rakyat tahu mereka hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai bebas, hakikatnya mereka tidak boleh menipu rakyat, bahawa mereka adalah badut-badut upahan yang berselindung di bawah ketiak Umno.

Lima 'ekor beruk politik' ini tiada kerja lain. Kerja mereka di Parlimen hanyalah mencaci maki Pakatan Rakyat.

Mereka memang jenis tidak servis rakyat, jika mereka turun ke kawasan pun, nescaya akan ditempelak rakyat kerana mereka adalah pengkhianat.

"Umno-Barisan Nasional pun tak percaya lima ekor ini, kalau Pakatan Rakyat mereka boleh khianati, BN pun mereka boleh buat macam tu," kata Setiausaha Politik seorang menteri di lobi Parlimen baru-baru ini.

"Lepas ni BN pun tak nak mereka," tambahnya.

Menariknya, drama MP-MP Bebas ini kadangkala tersangkut, akibat sanggahan MP BN sendiri.

Kadangkala pertelagahan mereka membawa kepada episod kata mengata yang menggelikan hati.

Antara yang terbabit dalam sengketa adalah Ibrahim Ali dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau).

"Dia ahli politik jaguh kampung di dunia antarabangsa dan masanya hampir berakhir. Dia juga halangan kepada 1Malaysia," kata ahli parlimen Rembau itu di blog web mikronya.

"Dia bukan pengundi Rembau, bukan juga ahli Umno. Dia tiada hak menyuruh saya letak jawatan," kata Khairy merujuk kepada serangan Ibrahim.

"(Universiti) Oxford tak ajar budaya bahasa Melayu yang halus mulus. Mana dia faham makna 'yang tersurat dan tersirat'.

"Jaguh bandar atau Oxford tidak bermakna kepada saya, kalau naik dan kaya pada permulaan kerana bapa mentuanya PM ataupun (terlibat dengan) politik wang?", balas Ibrahim.

Pertengkaran kedua-dua mereka tercetus apabila Khairy membela rakannya, ketua Pemuda MCA, Dato' Dr Wee Ka Siong, selepas 'diserang' oleh Ibrahim berhubung isu biasiswa.

Khairy juga baru-baru ini menyanggah ucapan Wee Choo Keong di Parlimen.

Yang kelakar ialah, pada asalnya MP-MP Bebas hendak digunakan Umno-BN untuk menyerang Pakatan Rakyat, tetapi sudah terbalik. Dengan Umno pun mereka bergaduh.

Apa yang hendak ditekankan di sini, bukan soal kata-mengata atau perselisihan faham antara MP BN dengan MP Bebas semata-mata.

Hakikatnya, MP-MP Bebas ini tidak ada 'future'. Mereka bukan sahaja tidak dapat membina jambatan yang baik dengan MP Umno-BN, malah kehadiran mereka semakin menyusahkan Umno.

Oleh itu, sebelum mereka dibuang oleh Umno-BN bagaikan sampah, sebelum mati dalam kehinaan, elok mereka meletakkan jawatan dan menyerahkan mandat semula kepada rakyat. /harakahdailynet

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...